BAITULMAQDIS– Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memberi amaran bahawa Israel akan menerima balasan susulan serangannya di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis yang diduduki, sehingga mengakibatkan ratusan jemaah muslim cedera.
Anggota kanan Hamas, Moussa Mohammed Abu Marzouk dalam satu kenyataan berkata, rakyat Palestin mampu menghalang pencerobohan Israel dan merangka perseimbangan baharu dalam konflik dengan negara haram itu.
“Penceroboh akan menerima akibat kerana mengotorkan Masjid Al-Aqsa dan menyerang jemaah,” katanya.
Malah, pemimpin Hamas itu meminta semua rakyat Palestin di Tebing Barat dan wilayah yang diduduki untuk terbabit sama dalam pertempuran dengan rejim pengganas Israel di semua kawasan di Baitulmaqdis.
Beliau turut mendesak rakyat Palestin di Semenanjung Gaza diduduki serta di luar negeri untuk menyokong warga Palestin, yang tinggal di Baitulmaqdis melalui apa jua cara.
Terdahulu, penduduk Palestin melakukan bantahan apabila Mahkamah Israel meluluskan keputusan untuk mengusir tujuh keluarga Palestin dari kediaman mereka dan memihak kepada penduduk haram Yahudi pada awal tahun ini.
Bantahan itu mengakibatkan pertempuran antara penduduk Palestin di Baitulmaqdis dan polis Israel di kejiranan Sheikh Jarrah.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, lebih 205 orang cedera dalam serangan Israel ke atas Masjid al-Aqsa dan kejiranan Sheikh Jarrah.
Terbaharu, persatuan itu mengemas kini angka rakyat Palestin yang cedera bertambah sebanyak kira-kira 100 orang pada Ahad.
Di dalam Masjid al-Aqsa, polis Israel melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan ke arah penduduk Palestin, di mana para jemaah termasuk wanita dan kanak-kanak sedang menunaikan solat pada hari Jumaat terakhir ketika bulan Ramadan.
Media melaporkan, dalam pertempuran itu juga, rakyat Palestin yang melakukan tunjuk perasaan hanya membaling botol plastik ke arah polis Israel.
Sementara itu, pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh mendesak, pemimpin Arab dan muslim bertindak secara tegas dan segera terhadap pencerobohan rejim pengganas Israel di Baitulmaqdis, khususnya di Masjid al-Aqsa.
Menerusi surat yang dikirim kepada pemimpin Arab dan muslim, Ismail meminta supaya mereka mengamalkan sifat politik dan diplomatik di peringkat Arab, Islam dan antarabangsa bagi mencegah Israel daripada terus melakukan serangan terhadap rakyat Palestin serta wilayah yang diduduki terutamanya di Masjid al-Aqsa.
“Seluruh dunia telah melihat usaha berterusan dan kian meningkat oleh Israel bagi mengusir 28 keluarga Palestin di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, selain pencerobohan di kawasan Bab al-Amoud serta provokasi terhadap jemaah Palestin di Masjid al-Aqsa,” katanya dalam surat berkenaan.
Katanya lagi, peningkatan keganasan Israel sememangnya tidak lagi boleh ditoleransi selain berharap supaya dunia Arab dan muslim bersatu menyokong rakyat Palestin di Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis bagi menghadapi penjajahan Israel. – Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)