WASHINGTON: Lebih 1,000 penyokong Palestin berhimpun di sini bagi mendesak pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menghentikan bantuan ke Israel.
Demonstrasi di sekitar Peringatan Lincoln itu berlaku selepas seminggu gencatan senjata diisytiharkan yang mengakhiri 11 hari pertempuran sengit antara Israel dan gerakan Hamas di Semenanjung Gaza.
“Kami berharap dapat menghantar mesej yang jelas kepada pemimpin Amerika Syarikat bahawa hari untuk menyokong Israel tanpa kesan sudah berakhir,” kata seorang penunjuk perasaan yang juga peguam di Washington berusia 39 tahun, Sharif Silmi.
“Kami akan menentang mana-mana ahli politik yang terus membiayai senjata kepada Israel. Kami akan menentang mereka, kami akan menentang mereka, kami akan membiayai lawan mereka,” kata Silmi.
Lama Alahmad, seorang penduduk di Virginia yang berasal dari Palestin, berkata ketika ini pendapat umum AS berpihak kepada perjuangan Palestin.
“Ada perubahan besar yang berlaku di AS berkaitan dengan tujuan Palestin untuk mencari tanah air yang berdaulat,” kata Alahmad.
“Kami hanya mahu dunia menyedari bahawa kami adalah manusia. Kami bukan pengganas, “kata Alahmad, seorang ibu berusia 43 tahun yang dibesarkan di Emiriah Arab Bersatu sebelum berpindah ke AS sekitar 20 tahun yang lalu.
Silmi menegaskan wujud penentangan meluas di AS terhadap bagaimana Israel memperlakukan rakyat Palestin, yang disamakan dengan apartheid di Afrika Selatan.
“Ramai yang sudah menyedarinya dan kami menentang. Sama ada pemuda Yahudi, Muslim, kulit hitam, kulit putih, ada perubahan dalam kalangan generasi muda.
“Ramai yang menuntut perubahan, kebebasan dan pembebasan untuk rakyat Palestin tanpa mengira kumpulan etnik dan kaum,” katanya. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)