Penaklukan Kota Konstantinopel dan pengajaran untuk hari ini

 

Tanggal 29 Mei merupakan ulang tahun jatuhnya ibu kota milik Empayar Byzantine iaitu Kota Konstantinopel di tangan Empayar Islam Uthmaniyyah yang akhirnya menjurus ke arah kepupusan Empayar Byzantine yang sekian lama menjadi kuasa dunia.

Kejatuhan Konstantinopel ini adalah titik tolak perubahan paksi politik dunia, sebagaimana tercatat dalam hadis nabi di mana seorang demi seorang pemimpin umat Islam syahid untuk merealisasikannya. Inilah hasil dari rantaian usaha sejak sekian lama atas keazaman yang menggunung yang lahir dari keimanan yang jitu.

Ini membuktikan penaklukan Konstantinopel ini tidak berlaku secara tiba-tiba kerana ianya adalah juga hasil dari analisis dan kajian yang mendalam berdasarkan kekalahan-kekalahan pemimpin-pemimpin lalu yang cuba menakluk kota tersebut; belajar dari kesilapan lampau dan tidak berputus asa.

Di sini kita pelajari yang sebarang usaha tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa persiapan yang rapi dan strategi yang benar-benar terancang. Lihatlah bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh telah melaburkan wang yang banyak untuk menghasil dan membeli senjata teknologi yang tercanggih selain mengatur strategi perang yang di luar jangkaan manusia biasa.

Yang paling penting, peristiwa ini mendidik kita agar mempercayai dan yakin pada janji Allah. Bayangkan, bagaimanalah umat terdahulu boleh yakin padahal ianya seperti terlalu mustahil kerana mana mungkin ibu kota Empayar Agung Byzantine boleh ditakluk.

Lihatlah bagaimana usaha penaklukan ke atas kota itu tidak pernah padam selama bergenerasi oleh pemimpin berbeza walaupun menempuh siri-siri kegagalan yang teruk, sehingga akhirnya kota tersebut ditakluk sampai sekarang. Pastinya ini adalah hasil ‘mindset menang’ atas dasar iman yang ditanam sejak bergenerasi dan terus dipupuk.

Inilah contoh kepimpinan yang unggul, bukan sahaja bijak tetapi kuat hubungannya dengan Allah S.W.T yang akhirnya melahirkan lapisan umat (tentera) yang punyai kualiti yang hebat dari segi semangat juang, keimanan dan kesatuan. Inilah resepi kejayaan yang dijanji oleh Allah.

Bayangkan kota yang serba strategik yang menghubungkan dunia Timur dan Barat itu kini di tangan kuasa bukan Islam, pasti lanskap politik dunia akan lebih berkecamuk berbanding hari ini terutamanya dalam konteks penguasaan hegemoni kuasa Barat.

Itulah sebabnya kita perlu terus mengenang peristiwa ini. Izzahlah dengan kejayaan lampau, supaya membakar semangat untuk melakar kejayaan-kejayaan pada masa hadapan kelak.

Namun, ingatlah juga bahawa kejatuhan Empayar Uthmaniyyah sebagaimana musnahnya Empayar Byzantine adalah serupa, iaitu kelekaan pemimpin, suburnya budaya rasuah dan masalah integriti, mudah terpengaruh dengan hasutan-hasutan musuh, hidup terlalu mewah sehingga lalai dengan kesusahan rakyat, lalai dengan hal ehwal negara dan akhirnya lalai dengan percaturan musuh.

Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts