1. Kecoh baru-baru ini mengenai sebuah rancangan hiburan di Televisyen yang dikatakan tidak mematuhi SOP yang mewajibkan pemakaian pelitup muka buat penggiat Industri Kreatif sepanjang acara langsung dijalankan. (Merujuk kepada SOP Sektor Industri Kreatif – Kemaskini 10 Mac 2021)
2. Apa yang terlintas difikiran kami ialah menyentuh soal bagaimana sikap kita dalam menghadapi wabak penyakit yang melanda di negara ini. Ia bukan sekadar isu pematuhan SOP tetapi menyentuh sikap kita menghayati situasi yang berlaku.
3. Betapa kuat desakan hiburan sehingga industri kreatif ini seakan diteruskan seperti biasa dalam keadaan institusi keagamaan seakan mengharungi situasi yang sedikit berbeza.
4. Dalam kehidupan harian Muslim, al-Quran mengajak manusia merenungi fenomena kejadian yang berlaku disekeliling mereka. Dalam al-Quran, Allah mendidik Muslim agar menjadikan sesuatu musibah yang berlaku itu sebagai ruang untuk kembali kepada Allah. Firman Allah:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى أُمَمٍ مِنْ قَبْلِكَ فَأَخَذْنَاهُمْ بِالْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ * فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ
“Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul kepada umat yang dahulu, maka Kami uji mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). Maka alangkah baiknya andai mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras. (Surah al-An’am: 42-43)
5. Mari kita renungi ayat ini. Perhatikan bagaimana Allah menguji kaum terdahulu dengan kesusahan dan penyakit agar mereka kembali kepada Allah. Menurut al-Imam Ibn al-Qayyim, ujian adalah ruang dan masa untuk hamba itu bermuhasabah. Kata beliau:
فالله يبتلي عبده ليسمع تضرعه ودعاءه والشكوى إليه
“Maka Allah menguji hambaNya untuk mendengar tunduk dan patuhnya hamba itu kepada Tuhannya, agar mereka berdoa dan mengadu kepada Allah.”
6. Al-Quran juga menjelaskan kepada kita bahawa kerosakan dimuka bumi ini tercetus adalah hasil dari perilaku manusia. Namun Allah mengingatkan kepada kita bahawa Dia sekali-kali tidak akan menurunkan azab kepada kaum yang beristighfar. Firman Allah:
وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
“Dan Allah (sekali-kali) tidak mengazab mereka sedangkan mereka beristighfar.”
7. Di sinilah titik muhasabah buat kita sebagai Muslim. Kerosakan serta ujian penyakit yang berlaku adalah ruang untuk manusia bermuhasabah. Contohilah Rasulullah yang menjadikan fenomena sekeliling Baginda sebagai pencetus untuk kembali kepada Allah. Perbanyakkan beristighfar.
Semoga Allah membimbing kita.
Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Universiti Sains Islam Malaysia
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)