1. Didik hati kita agar tidak jemu melakukan kebaikan kerana sesungguhnya rahmat Allah itu sangat dekat kepada orang yang sentiasa melakukan amal kebaikan dan bersifat dengan sifat orang yang muhsinin. Firman Allah:
إِنَّ رَحْمَتَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ ٱلْمُحْسِنِينَ
“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang muhsinin.” (Surah al-A’raf: 56)
2. Perhatikan dalam ayat ini bagaimana Allah menyebutkan bahawa rahmat Allah itu sangat dekat dengan orang muhsinin. Timbul persoalan di sini, siapakah dia golongan muhsinin? Golongan muhsinin adalah golongan yang melakukan kebaikan benar-benar ikhlas kerana Allah.
3. Dalam al-Quran, terdapat beberapa ciri golongan muhsinin antaranya mereka adalah golongan gemar menyumbangkan harta di jalan Allah. Firman Allah:
وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang muhsinin.” (Surah al-Baqarah: 196)
4. Begitu juga antara ciri-ciri golongan muhsinin yang disebutkan juga dalam al-Quran adalah golongan yang suka memaafkan orang lain. Firman Allah:
وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
“dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali Imran: 134)
5. Dan yang paling utama, golongan muhsinin ini adalah orang yang bertakwa yang dekat jiwanya dengan Allah. Firman Allah:
ثُمَّ اتَّقَوْا وَآمَنُوا ثُمَّ اتَّقَوْا وَأَحْسَنُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
“kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Maidah: 93)
6. Oleh yang demikian, dalam musim pandemic ini, ramai dalam kalangan kita ditimpa kesusahan, bantulah mereka. Jangan jemu melakukan kebaikan di samping berdoa agar Allah menerima amal soleh kita.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)