Perlis benar solat jemaah di masjid bermula esok

 

KANGAR: Mulai esok 1 Julai 2021, Perlis membenarkan umat Islam di negeri itu menunaikan solat berjemaah di masjid dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kebenaran tersebut mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah mengambil kira situasi semasa penularan COVID-19 di Perlis.\

“Semua masjid di negeri ini dibenarkan untuk menerima kehadiran jemaah dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula waktu Subuh esok sehingga tempoh baharu arahan terkini yang mungkin dikeluarkan.

“Kebenaran ini hanya terpakai di masjid di seluruh Perlis sahaja manakala sebarang aktiviti surau kekal ditangguhkan,” titah baginda dalam kenyataan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Rabu.

Semua jemaah di Perlis perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan hanya terdiri daripada ahli kariah berusia 12 hingga 59 tahun sahaja.

Bagi jemaah 60 tahun ke atas, adalah dibenarkan dengan syarat lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sebagai langkah kawalan, Tuanku Syed Faizuddin bertitah mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas negeri termasuk yang berulang-alik bekerja pada setiap hari tidak dibenarkan hadir.

Tempoh masa pelaksanaan solat fardu lima waktu adalah 10 minit manakala tempoh pelaksanaan khutbah dan solat Jumaat adalah selama 15 minit sahaja.

Laungan azan akan kembali dilaungkan dengan lafaz dan kaedah seperti biasa.

Titah baginda, solat jenazah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan terhad kepada petugas dan keluarga terdekat sahaja dengan pematuhan SOP sepanjang masa.

“Aktiviti berkumpulan sama ada kuliah, kelas, pengajian dan sebagainya selain Solat Jumaat dan Solat Fardu buat masa ini masih tidak dapat dibenarkan.

“Manfaatkanlah kesempatan untuk meneruskan kelas pengajian secara maya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus di Laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titah baginda. – AlHijrah Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts