Setiap manusia yang lahir ke atas dunia diciptakan dengan fitrah yang tersendiri. Fitrah adalah sesuatu yang bersifat suci kerana ianya merupakan aturan oleh Allah SWT dan bersifat semulajadi. Sesuatu yang bersifat semulajadi tidak boleh dianggap tidak rasional, tidak berhati perut dan lain-lain. Sebagai contoh, jika seekor haiwan memakan haiwan yang lain maka ianya adalah fitrah dan aturan semulajadi, tetapi jika manusia yang berbunuhan sesama sendiri maka ianya bukan fitrah. Begitu juga fitrah manusia lahir sama ada sebagai lelaki ataupun perempuan, yang mana merupakan aturan semulajadi. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Maksudnya : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…”
Namun begitu adanya manusia yang dilahirkan secara semulajadi mempunyai 2 alat kelamin lelaki dan wanita, yang mana dikenali di dalam Islam sebagai khunsa (خنثى). Khunsa pula terbahagi kepada khunsa musykil dan ghayru musykil, seperti yang pernah kami bincangkan pada artikel Irsyad al-Fatwa siri ke 407: ‘Hukum Mukhannas Masuk Tandas Perempuan’
Khunsa menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah individu yang mempunyai dua alat kelamin. Dalam perbahasan ahli fekah, Khunsa dibahagikan kepada dua jenis :
- Khunsa Musykil. Seseorang yang tidak mempunyai tanda-tanda lelaki atau wanita yang jelas. Perkara ini menyebabkan tidak dapat dipastikan jantina sebenarnya. Khunsa Musykil juga mempunyai dua alat kelamin namun tidak dapat juga dipastikan sama ada lelaki atau perempuan sepertimana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Justeru ia disebut musykil kerana tidak dapat dipastikan secara jelas jantinanya. Fuqaha memberikan beberapa solusi bagi mengenalpasti jantina mereka. Antaranya melihat cara mereka membuang air kecil. Jika kebiasaannya ia keluar dari kemaluan lelaki, maka mereka dinilai sebagai lelaki. Jika ia keluar dari kemaluan wanita, mereka dinilai sebagai seorang wanita. Selain itu, jantina sebenar mereka juga dinilai berdasarkan perkara lain khususnya ketika mereka baligh seperti keluar air mani atau darah haid. Jika keluar air mani, maka mereka dinilai sebagai seorang lelaki. Jika yang keluar adalah darah haid, mereka dinilai sebagai seorang wanita. Dengan syarat ianya keluar atau berlaku secara berulang-ulang bagi memastikan dengan betul keadaan dan jantina mereka. Tanda-tanda lain juga perlu diperhatikan setelah mereka baligh dan meningkat dewasa. Zaman sekarang yang semakin canggih dengan peralatan moden mampu mengesan jantina seseorang khunsa dengan lebih efektif. Seperti pemeriksaan dalaman untuk memastikan kewujudan rahim atau tidak dan pemeriksaan hormon di dalam badan sebagai penentuan jantina sebenar. Ini juga adalah cara untuk mengenalpasti jantina mereka.
- Khunsa Ghayr Musykil. Seseorang yang jelas pada dirinya tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan. Dia dapat diketahui secara jelas sama ada dia merupakan seorang lelaki ataupun perempuan.
Namun begitu, Imam al-Nawawi menegaskan bahawa khunsa bukan jantina yang ketiga. Mereka ini tergolong sama ada lelaki atau wanita. Beliau menyebut :
فَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ إمَّا رَجُلٌ وَإِمَّا امْرَأَةٌ وَلَيْسَ قِسْمًا ثَالِثًا
“Mazhab kami menentukan bahwa khunsa itu sama ada lelaki atau perempuan. Dia bukan jantina ketiga.”
Disana juga adanya kelompok mukhannas, yang mana dikenalpasti di dalam hadith dan sejarah Islam sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Sheikh Khalil Ahmad al-Sahranfuri menjelaskan mukhannas bermaksud seorang lelaki yang menyerupai wanita dalam tingkah laku, percakapan dan sifat. Kadang-kadang perbuatan tersebut dibuat-buat dan perkara inilah yang dilarang oleh Islam
Dalam sebuah riwayat hadis, Ummu Salamah menceritakan :
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ عِنْدَهَا وَفِي البَيْتِ مُخَنَّثٌ فَقَالَ المُخَنَّثُ لِأَخِي أُمِّ سَلَمَةَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أُمَيَّةَ: إِنْ فَتَحَ اللَّهُ لَكُمُ الطَّائِفَ غَدًا أَدُلُّكَ عَلَى بِنْتِ غَيْلَان فَإِنَّهَا تُقْبِلُ بِأَرْبَعٍ وَتُدْبِرُ بِثَمَانٍ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يَدْخُلَنَّ هَذَا عَلَيْكُنَّ
Maksudnya : Pernah satu hari Nabi SAW berada di samping Ummu Salamah dan dalam masa yang sama terdapat seorang mukhannas di dalam rumah. Mukhannas itu berkata kepada saudara lelaki Ummu Salamah, Abdullah Bin Abu Umayah : Jika Allah memberikan kemenangan kepada kamu untuk menguasai Taif esok, saya akan tunjukkan kepada kamu seorang anak perempuan Ghaylan. Dia menghadap dengan empat lipat dan berpaling dengan lapan lipat (kerana gemuk). Nabi SAW bersabda : Jangan benarkan orang ini masuk bertemu kalian”.
Ibn Battal menjelaskan bahawa Nabi SAW melarang orang lelaki yang mempunyai kecenderungan untuk bertingkah laku seperti wanita (mukhannas) agar tidak masuk ke dalam rumah Baginda kerana ditakuti mereka akan menceritakan perihal wanita yang mereka lihat kepada lelaki yang lain. Ini juga menunjukkan bahawa Nabi SAW menganggap mereka sebagai orang lelaki dan perlu bersikap sebagai lelaki serta mereka tertakluk dengan hukum-hakam sebagai seorang lelaki.
Islam juga melarang seorang lelaki untuk menyerupai (tasyabbuh) seorang perempuan dan juga perempuan menyerupai lelaki. Perkataan tasyabbuh digunakan bagi menggambarkan perbuatan menyerupai sama ada ada dari sudut agama, perangai, atau tingkah laku. Pada asasnya, Islam melarang segala jenis penyerupaan antara lelaki dan perempuan. Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :
لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالمُتَرَجِّلَاتِ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya : “ Nabi SAW melaknat mukhannas (yang menyerupai perempuan) dari kalangan lelaki dan mutarajjil (yang menyerupai lelaki) dari kalangan perempuan.”
Sheikh Badruddin al-‘Aini menjelaskan hadis di atas dengan huraian yang cukup baik. Beliau menyatakan bahawa Allah melarang para lelaki untuk menyerupai wanita dari sudut pakaian dan perhiasan yang dikhususkan untuk mereka, begitu juga sebaliknya. Bahkan larangan ini juga terpakai pada penyerupaan dari sudut tingkah laku seperti seorang lelaki yang melakukan perubahan pada tubuh atau menukar jantina agar menyerupai wanita dan sengaja bertingkah laku seperti wanita. Jika memang bersifat begitu sejak lahir pula, maka ianya perlu diubah secara berperingkat. -Bayan Linnas
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)