RAMALLAH – Biarpun sebelum ini menyatakan hasrat akan berundur susulan tunjuk perasaan terhadap kematian seorang aktivis dalam tahanan, namun Menteri Buruh Pihak Berkuasa (PA) Palestin kekal memegang jawatannya.
Nasri Abu Jaish yang juga mewakili Parti Rakyat sayap kiri dalam kerajaan berkata, pada akhir Jun beliau akan berundur daripada PA yang dipimpin Fatah disebabkan wujud ketirisan undang-undang dan kebebasan awam.
Penangguhan pengunduran beliau diumumkan berikutan penunjuk perasaan menuntut Presiden, Mahmud Abbas berundur atas penangkapan dan kematian tahanan aktivis, Nizar Banat.
Nasri dalam satu kenyataan semalam berkata, Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh telah menolak dua kali pengunduran darinya, menyebabkan beliau terus dalam kerajaan Palestin sebagai Menteri Buruh.
Nizar Banat, 43, yang terkenal dengan video media sosial yang mengecam dakwaan rasuah di PA, meninggal dunia pada 24 Jun sejurus pasukan keselamatan menyerang rumahnya, memukul dan mengheretnya pergi.
PA menyatakan akan membuka siasatan terhadap kematian Nizar, bagaimanapun peserta demonstrasi terus melakukan bantahan beberapa minggu selepas itu.
Semalam, ratusan orang di Ramallah meminta pengunduran diri daripada Mahmud, mengecam penggunaan kekuatan keselamatan Palestin dalam menamatkan demonstrasi baru-baru ini.
“Kami akan tetap berdiri di jalan sampai keadilan tercapai,” kata peserta demonstrasi, Maher Akhras mendakwa PA telah membunuh Nizar dan menyerang para peserta.
Sebelum ini, aktivis itu turut mendaftar sebagai calon dalam pemilihan Parlimen Palestin yang ditetapkan pada Mei lalu, tetapi Mahmud menangguhkannya.
Selain itu, peserta demonstrasi meluahkan kemarahan terhadap kekurangan proses demokrasi di wilayah berkenaan.
“Kami berhak memilih, memilih wakil dan presiden.
“Kami perlu membina semula keseluruhan sistem politik Palestin,” kata peserta Omar Assaf. – Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)