Warga emas kaum Cina terharu terima sumbangan

 

KOTA BHARU – Seorang warga emas berbangsa Cina tidak menyangka dia turut layak menerima sumbangan kotak makanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Pusat Penerangan dan Dakwah Islam Antarabangsa (IIDAC) di sini pada Selasa.

Warga emas berkenaan, Fang Lee Chou, 66, dari Jalan Berek 12 di sini singgah ke Program Bantuan Prihatin MAIK sempena agihan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Lee Chou terlebih dahulu bertanya kepada pihak berkenaan sama ada dia layak atau tidak menerima sumbangan tersebut memandangkan majoriti penerima adalah mereka yang beragama Islam.

“Saya bukan Islam tapi saya susah sekarang ini, suami pun sudah dua bulan tak kerja sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Kalau tak boleh, tak apa, saya balik,” kata Lee Chou.

Lee Chou bagaimanapun berkata, dia bersyukur dan menzahirkan rasa terima kasih kepada MAIK kerana tetap memberi bantuan tersebut kepadanya walaupun dia bukan seorang Islam.

“Baru saya faham, walaupun duit zakat tidak boleh terima tetapi MAIK ada dana lain untuk bantu orang bukan Islam.

“Saya sedang berfikir macam mana nak cari beras sebab dua bulan suami tidak bekerja. Anak-anak ada, tapi kami tidak mahu susahkan mereka,” katanya menurut kenyataan yang disiarkan dalam Facebook MAIK pada Selasa.

Sumbangan kotak makanan itu disampaikan Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Mohd Azman Ghazali.

Disyorkan artikel berkaitan ini:
Aidiladha: Perak larang ziarah kubur, takbir rumah ke rumahKiosk Amal Kongsi Rezeki sasar golongan terputus bekalan makananTerkesan PKP, ibu tunggal tebalkan muka minta simpati di Facebook
Hadir sama ialah Pegawai Komunikasi Korporat MAIK, Muhamad Firdaus Mat Rahim dan Presiden IIDAC, Muhammad Michael.

Sumbangan itu bertujuan meringankan beban dan mengembalikan kegembiraan kumpulan terkesan, hilang pendapatan dan terputus bekalan makanan akibat pandemik Covid-19.

Abdul Rahman Vejayab turut menerima bantuan daripada MAIK di Kota Bharu pada Selasa. – Foto ihsan MAIK
Sementara itu, seorang saudara baharu, Abdul Rahman Vejayab Abdullah, 66, turut menzahirkan rasa syukur atas sumbangan MAIK itu.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, sepanjang pelaksanaan PKP sehingga ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), dia sudah beberapa kali terputus bekalan makanan.

“Saya bernasib baik kerana kadangkala dibantu mertua dan juga jiran-jiran yang baik hati,” katanya. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts