2,000 pelajar asnaf terima bantuan tablet, data internet

 

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mula mengedarkan bantuan pakej tablet dan data internet kepada 2,000 pelajar Tingkatan Lima dari keluarga asnaf fakir miskin.

Bantuan itu bagi memudahkan mereka mengikut sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan lebih berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari, berkata RM1.2 juta diperuntukkan bagi tujuan itu dengan pengedarannya dilakukan sejak Isnin lalu.

Katanya, bantuan itu adalah satu daripada sembilan jenis bantuan yang diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 10 Jun lalu khusus bagi membiayai keperluan golongan terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Tablet berserta pakej internet percuma selama enam bulan itu diagihkan secara terus kepada pelajar melalui pejabat cawangan MAIPk seluruh negeri dengan kerjasama pejabat Orang Besar Jajahan (OBJ) daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bantuan lain yang sudah disampaikan adalah sumbangan kepada 25 pusat jagaan anak yatim membabitkan nilai RM308,000; bantuan tajaan bekalan makanan institusi pendidikan (RM200,000); selain sumbangan kepada lima pusat jagaan warga emas dan orang kelainan upaya (RM49,600).

“Di tengah-tengah keprihatinan masyarakat Islam untuk membantu golongan yang terjejas ketika tempoh PKP, kita juga amat mengharapkan umat Islam tidak lupa terhadap kewajipan menunaikan ibadah zakat yang wajib.

“(Kerana) melalui zakat ramai asnaf terbukti dapat dibantu, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan seharian mereka tetapi turut membantu mereka dalam bidang pendidikan, perubatan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Sultan Nazrin menitahkan penyediaan dana khas berjumlah RM14.6 juta khusus bagi membiayai keperluan rakyat terjejas selain menjaga kebajikan petugas keselamatan serta petugas barisan hadapan dalam menangani penularan COVID-19.

Dana itu adalah bagi tujuan bantuan kecemasan kelangsungan hidup bernilai RM10.9 juta serta tajaan peralatan kesihatan dan perubatan yang diperlukan segera oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak (RM600,000).

Bantuan turut membabitkan sumbangan untuk petugas barisan hadapan (RM400,000); bantuan pakej tablet dan data Internet untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian dan pelajar (RM1.5 juta); bantuan kebajikan pelajar luar negara (RM200,000); serta sumbangan untuk pusat jagaan anak yatim; rumah orang tua, dan warga emas Islam (RM400,000).

Turut dirangkumkan dalam dana khas terbabit adalah tajaan bekalan makanan institusi pendidikan; sumbangan kepada pusat gelandangan sementara di bawah kendalian kerajaan negeri; dan program vaksinasi Covid-19 MAIPk yang mensasarkan kumpulan yang dikenal pasti perlu segera menjalani vaksinasi yang masing-masing menerima RM200,000. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts