GENEVA– Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan penjajah Israel menjadualkan semula pemilihan presiden pada waktu yang sesuai.
Ini bagi memastikan pilihan raya yang bebas, adil, demokratik dan boleh dipercayai dapat diadakan.
Pilihan raya Parlimen Palestin dijadualkan pada bulan Mei dan pemilihan presiden pula dirancang pada Julai.
Namun, pelaksanaannya terpaksa ditunda pada 29 April lalu oleh Presiden Mahmoud Abbas ekoran bimbang terhadap peluang rakyat Palestin untuk mengundi di Baitulmaqdis Timur.
“Kami sangat prihatin dengan penangguhan pemilihan yang dijadualkan di Palestin,” kata kumpulan pakar hak asasi manusia PBB.
Mereka membabitkan pelapor khas mengenai hak asasi manusia Palestin, Michael Lynk; pelapor khas mengenai hak kebebasan bersuara, Irene Khan dan pelapor khas mengenai kebebasan berhimpun secara aman, Clement Nyaletsossi Voule.
“Pilihan raya Palestin memberikan peluang besar untuk memperbaharui proses demokrasi, bagi menangani perpecahan politik dalaman yang telah lama wujud.
“Selain itu, (ia juga) untuk memperkuatkan institusi yang bertanggungjawab dan mengambil langkah penting dalam mencapai hak nasional serta hak individu rakyat Palestin,” tegas pakar.
Justeru, pakar PBB menggesa Israel membenarkan penyertaan rakyat Palestin di Baitulmaqdis Timur dalam rancangan proses demokrasi itu. – Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)