Rakyat Malaysia dijangka tunai umrah tahun ini

 

MARANG: Umat Islam di negara ini dijangka berpeluang mengerjakan ibadah umrah seawal dua bulan lagi sekiranya kes jangkitan COVID-19 dalam negara menurun dan sasaran 80 peratus penduduk divaksin dicapai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata ia juga bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SOP ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, perbincangan sudah dilakukan dengan Duta Arab Saudi semalam mengenai isu berkenaan dan pihaknya sedang mendapatkan kepastian dari semasa ke semasa.

“Apabila keadaan memungkinkan (untuk ke sana), kita akan buat SOP dahulu, kita melihat kepada dua situasi iaitu satu dalam negara dan satu lagi negara yang ingin dikunjungi iaitu Arab Saudi.

“Setakat ini, kita harap isu berkaitan dengan penyebaran pandemik COVID-19 dapat diredakan dengan sebaik mungkin dan vaksinasi dapat diperbanyakkan.

“Jadi, kalau hal ini dapat diselesaikan, Insya-Allah, saya yakin dalam satu atau dua bulan lagi (boleh ke sana), namun ia bergantung keadaan COVID-19 yang kita hadapi selain kebenaran daripada negara sana,” katanya yang ditemui pada majlis sumbangan di Maahad Darul Quran Rusila di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Arab Saudi membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 negara sejak 1 Ogos lalu dengan mempermudahkan prosedur mendapatkan visa masuk bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara terbabit.

Menurut laporan Saudi Gazette, syarat dan peraturan untuk mendapatkan visa pelancong dan memasuki Arab Saudi termasuk imunisasi penuh dengan vaksin yang diluluskan kerajaan itu.

Pelancong dan pelawat dari 49 negara termasuk Malaysia, layak untuk memohon e-visa, yang membolehkan mereka menunaikan umrah dan mengikuti pelbagai aktiviti melancong di seluruh negara itu. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts