Bulan Kemerdekaan: Mendaulatkan Islam bukti mencintai tanah air

930253fa87bef147d573afa070d71d95

 

Hari ini kita mula melangkah ke bulan Ogos, iaitulah yang disebut di negara ini sebagai bulan kemerdekaan.

Bulan ini bermula dengan sambutan hari pahlawan pada akhir Julai sehinggalah tarikh sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos. Ianya adalah satu bulan yang penuh dengan semangat patriotisma dan kecintaan terhadap negara.

Semua umat Islam hari ini sudah jelas, bahawa kecintaan terhadap negara itu bukanlah suatu perkara yang bertentangan dengan Islam.

Ianya dilihat sebagai satu fitrah iaitu bagaimana sudah pasti seorang manusia itu akan mencintai tempat dimana dia dilahrikan dan dibesarkan. Tempat jatuh bangunnya dan tempat dimana segala keringatnya itu dicurahkan.

Rasulullah saw sendiri amat merindui kota Makkah saat diusir daripadanya hinggakan Allah swt sendiri memujuk baginda bagi mengubat perasaan pilu dan kerinduan tersebut yang diabadikan di dalam Al-Quran:

إِنَّ ٱلَّذِى فَرَضَ عَلَيۡكَ ٱلۡقُرۡءَانَ لَرَآدُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ۬‌ۚ

Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai (Makkah) (Al-Qasas : 85). 

Namun seperti mana kecintaan antara lelaki dan perempuan boleh jatuh kepada lembah hawa nafsu, begitu jugalah kecintaan kita kepada negara boleh jadi bukanlah kecintaan yang benar apabila ianya tidak dipandu oleh akal dan wahyu.

Boleh jadi kita menyatakan kitalah yang paling mencintai negara ini sedangkan hakikatnya kita sedang membawa negara ini kearah mudarat yang sedang menanti.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ (١١) أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ (١٢)

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (Al-Baqarah : 11-12)

Jadi sepatutnya dalam bulan kemerdekaan ini, kita bukanlah sekadar berbicara soal hendaklah mencintai negara, tetapi perlu ditanam juga bagaimana cinta tersebut dapat diterjemahkan kepada perkara yang benar-benar memberi maslahat kepada negara.

Hakikatnya cinta itu bukanlah sekadar pada kata-kata tetapi amalanlah yang menjadi bukti kepada kecintaan tersebut.

Oleh itu, wahyu mengajar kita bahawa apabila benarnya cinta kita ke atas tanah ini sudah pasti kita mengharapkan tanah ini subur dengan manusia yang rukuk dan sujud kepada Allah swt.

 رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيہِمۡ‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (١٢٩

Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (AL-Baqarah: 129)

Kisah Nabi Ibrahim as yang berdoa berdoa supaya diutuskan seorang rasul disini bagi memastikan tanah tersebut terus dipenuhi dengan mereka yang beriman kepadaNya menjadi satu gambaran bagaimanakah bentuk kecintaan terhadap sebuah negara diterjemahkan.

Dalam masa yang sama, kisah Nabi Nuh as yang memberi gambaran kepada umatnya bagaimana hubungan antara akan dua perkara ini iaitu antara keimanan terhadap Allah SWT dan juga kemakmuran sebuah negara.

فَقُلۡتُ ٱسۡتَغۡفِرُواْ رَبَّكُمۡ إِنَّهُ ۥ كَانَ غَفَّارً۬ا (١٠) يُرۡسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيۡكُم مِّدۡرَارً۬ا (١١) وَيُمۡدِدۡكُم بِأَمۡوَٲلٍ۬ وَبَنِينَ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ وَيَجۡعَل لَّكُمۡ أَنۡہَـٰرً۬ا

Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;  Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Surah Nuh: 10-12) 

Baginda mengajar kepada umatnya berimanlah kepada Allah, kerana keimanan tersebut bukan sahaja baik kepada diri kamu bahkan memberi banyak kebaikan kepada tanah kamu berada padanya.

Hakikatnya, keimanan yang benar adalah satu bentuk kecintaan kita kepada tanah air ini.

Maka tibanya bulan kemerdekaan ini adalah suatu bulan muhasabah untuk kita semua.

Usaha mengasingkan urusan agama daripada pentadbiran sebuah negara bukanlah daripada kefahaman Islam, ianya adalah satu kefahaman barat akibat kegagalan mereka sendiri dalam memahami agama yang dianuti mereka.

Sedangkan dalam Islam perkara ini sudah jelas bahawa kedua perkara ini perlu begerak seiring. Sebuah negara tidak mungkin mencapai tahap keamanan, kebajikan serta kemakmuran yang sebenar melainkan segala urusan negara ini diurus dengan kayu ukur panduan syarak.

Cinta kepada negara bukan sekadar berbicara soal fitrah semata-mata. Ianya lebih daripada itu, ianya adalah suatu perasaan dan tanggungjawab dalam memenuhi misi penciptaan kita itu sendiri.

Iaitulah menjadi khalifah serta mengurus seluruh alam ini dengan acuan yang dikehendaki oleh Yang Maha Pencipta.

Hakikatnya segala musibah yang sedang kita hadapi di negara hari ini sebenarnya adalah suatu gambaran bagaimana hubungan kita denganNya. Sifir inilah yang diajarkan kita di dalam Al-Quran:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (Al-A’raf: 96)

Nah, jika kita cintai negara maka daulatkanlah Islam!

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Sumber: http://muis.org.my/2016/08/bulan-kemerdekaan-mendaulatkan-islam-bukti-mencintai-tanah-air/

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Menentang Islamophobia

  INSIDEN prejudis atau kebencian berlandaskan sentimen Islamophobia semakin merawak dalam masyarakat dunia dan Malaysia tidak terkecuali. Ia…