Bebasnya negara ini daripada penjajahan asing yang datang ke negara ini secara silih berganti adalah satu nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada kita. Bebasnya negara umat Islam dari cengkaman penjajahan asing adalah sebagai salah satu anak tangga kita untuk meraih kemerdekaan yang sebenar seperti mana yang dikehendaki oleh Islam.
Kemerdekaan hakiki dalam Islam hanya berlaku apabila seseorang hamba berjaya memerdekakan dirinya dari sebarang ikatan yang menyebabkan ia gagal mengabdikan dirinya hanya kepada Allah. Seseorang itu gagal dianggap sebagai merdeka jika ia masih rela kekal menjadi hamba kepada hawa nafsunya.
Sesebuah masyarakat itu masih belum merdeka apabila masih tidak total ketundukannya dengan sistem kehidupan sepertimana yang dikehendaki oleh Allah samada dari sudut sistem kemasyarakatannya, ekonominya, undang-undangnya dan sebagainya. Namun jangan sesekali disangkal bahawa kemerdekaan negara ini secara rasmi pada 31 Ogos 1957 adalah asas anak tangga penting untuk kita menuju ke arah kemerdekaan yang hakiki.
Itupun sejauh mana umat Islam mengambil kesempatan terhadap nikmat kemerdekaan ini untuk melangkah lebih jauh lagi merealisasikan semua tuntutan kemerdekaan yang hakiki. Asasnya sudah ada, modalnya pun tersedia iaitu Islam sebagai agama persekutuan dan peruntukan-peruntukan lain di dalam perlembagaan Malaysia yang memberi ruang dan peluang untuk Islam lebih dominan dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.
Kesedaran umat Islam perlu sentiasa disegarkan selalu tentang kefahaman ini. Tidak sepatutnya merasa puas dengan pencapaian yang ada bahkan mesti merasakan setiap masa bahawa ia bertanggungjawab mengisi kemerdekaan negara dengan bersungguh-sungguh, menggunakan semua peluang yang ada untuk meraih kemerdekaan yang hakiki.
Kita umat Islam di Malaysia mesti sentiasa sedar bahawa kesedaran begini sangat penting untuk mengimbangi antara dua ekstrim pemikiran, yang pertama menafikan langsung kepentingan merdeka dari penjajahan asing serta tidak langsung menghargainya. Manakala satu lagi ekstrim ialah sangat rasa memadai dengan kemerdekaan yang disambut tiap-tiap tahun, lantaran itu tidak berusaha memaknakan kemerdekaan mengikut piawai kemerdekaan yang hakiki di sisi Allah sepertimana yang kita bincangkan di atas.
Musuh kepada kesedaran ini ialah kelalaian. Kelalaian berlaku samada ia diprojekkan supaya terus berlaku kelalaian di kalangan masyarakat mahupun kelalaian yang tidak disedari berlaku lantaran berada dalam zon keselesaan dalam tempoh masa yang agak lama.
Umat Islam di Malaysia perlu dijauhkan dengan perkara-perkara yang boleh melalaikan mereka. Namun realitinya, kita terpaksa mengakui bahawa terlalu banyak perkara yang boleh melalaikan cara berfikir umat ini. Bukan tidak ramai para cendiakawan dan mereka yang baik-baik di kalangan kita tetapi tidak ramai yang menjadi pemikir-pemikir yang akan mencari formula menyelesaikan masalah umat. Apa yang dibaca, apa yang ditonton, apa yang dibualkan, amat sedikit yang menghala kepada mencari kemerdekaan yang hakiki. Lebih selesa dengan isu-isu picisan dan ringan-ringanan.
Itulah rahsianya apabila Islam mengharamkan sesuatu yang boleh menyebabkan manusia tidak mampu menggunakan aqal fikirannya, emosinya, deria rasanya seperti mana yang sepatutnya. Islam mengharamkan arak, judi juga sesuatu yang memabukkan walaupun menggunakan berbagai jenama dan istilah kerana ia merosakkan pertimbangan dan aqal yang sihat.
Dalam situasi terkini, maka tepatlah para ulama senada dengan majoriti ahli masyarakat yang lain sudah menyatakan kerisauan terhadap cadangan menjadikan tanaman daun ketum sebagai tanaman komersil. Walaupun dikatakan ada menafaat namun potensi untuk disalahgunakan itu lebih besar.
Begitu juga dengan keterujaan seluruh dunia dengan permainan Pokemon Go. Banyak pihak termasuk para ulama sudah menzahirkan rasa bimbang dengan kelalaian yang bakal timbul dan telah dilaporkan berlaku di beberapa buah negara di dunia ini.
Cukup-cukuplah dengan ubat-ubat “pelalian” yang telah berjaya membius pemikiran kebanyakan umat Islam hari ini sehingga melupai kehendak kemerdekaan hakiki yang sebenar. Kemerdekaan hakiki apabila berani berkata “tidak” kepada semua sistem yang tidak “sujud” kepada Allah seperti yang di isyaratkan di dalam ayat 19 surah al ‘Alaq :
Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!
Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
www.indahnyaislam.my
*Pokemon Go*
Dengarnya best!
Rasa macam nak main..
tapi..
Masjid dan surau selalu cannot *GO*!
Kuliah agama takde masa to *GO*!
Apa nak jawab kat Tuhan bila nanti kita *GO*?