- Dalam al-Quran Allah mengaitkan urusan solat dengan nafsu. Allah menyifatkan kaum yang lalai dalam urusan solat itu, mereka akan mengikuti nafsu mereka. Firman Allah:
فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ
“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat.” (Surah Maryam: 59)
- Perhatikan ayat ini bagaimana Allah mengaitkan orang yang sering mengikuti hawa nafsu itu adalah apabila dia tidak menjaga urusan solatnya. Oleh itu jaga urusan solat, solat memberi kekuatan untuk melawan nafsu.
- Ketika menghuraikan ayat ini, Sheikh Dr. al-Tantawi menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan tidak menjaga urusan solat ialah samada meninggalkan solat atau tidak menunaikan solat dengan kualiti yang sempurna. Kata beliau: بأن تركوها ، أو لم يؤدوها على وجهها المشروع
“Iaitu samada mereka meninggalkan solat, atau tidak melaksanakannya dengan kehendak yang telah ditetapkan oleh syarak (seperti menunaikannya dalam keadaan yang tidak sempurna kualitinya). (Tafsir al-Wasit)
- al-Imam Ibn Kathir pula mempersembahkan kata-kata Masruq, (seorang ahli tafsir terkemuka di kalangan tabi’in yang) yang berkata: لا يحافظ أحد على الصلوات الخمس ، فيكتب من الغافلين
“Mereka yang tidak menjaga solat lima waktu akan tergolong dalam golongan orang-orang yang lalai.” (Tafsir Ibn Kathir)
- Macam mana sibuk pun urusan kita, jagalah urusan solat kita. Jaga hak Allah, mudah-mudahan Allah mempermudah urusan kita.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)