Segala puji bagi Allah yang telah menyampaikan kita ke tahun 64 kemerdekaan negara seiring dengan kedatangan tahun baru hijrah 1443H. Ia memperingatkan kita betapa rapatnya hubung kait antara hijrah dan kemerdekaan.
Islam adalah agama yang memerdekakan manusia dari penyembahan kepada manusia. Ia diabadikan di dalam ucapan Rib’ie bin Amir kepada panglima Parsi iaitu Rustum:
قد ابتعثنا اللهُ لنخرج العباد من عبادة العباد إلى عبادة رب العباد، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام، ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة
“Allah mengutus kami untuk kami mengeluarkan hamba-hambaNya dari menyembah manusia kepada menyembah Tuhan manusia, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Negara kita telah terlepas dari penjajahan tentera asing dan campur tangan pihak luar terhadap istana. Tetapi cabaran untuk menjadi negara yang merdeka dengan erti kata sebenar masih lagi menjadi perjuangan hingga ke hari ini.
Setelah Piagam Atlantik dan penubuhan Liga Bangsa-Bangsa yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dunia dipaksa menerima kehadiran negara haram Israel. Bila Yahudi menguasai Baitulmaqdis, ia juga memberi isyarat bahawa dunia sudah tidak lagi duduk di bawah naungan Islam, sebaliknya duduk di bawah penjajahan Yahudi dan sekutunya.
Malaysia sebagai salah satu negara yang merdeka pada 1957 tidak terlepas dari percaturan ini. Walau pun Malaysia sudah merdeka, tetapi masih ada kekangan yang perlu dilepaskan dari hari ke hari. Malaysia akan sentiasa berada di persimpangan; sama ada ingin menjadi sebuah negara bebas berdaulat yang boleh menentukan masa depan sendiri atau tunduk di bawah orde baru dunia yang akan membataskan kemampuannya.
Malaysia adalah bumi bertuah yang dilimpahi dengan segala macam sumber bumi yang kaya. juga dilimpahi dengan rakyatnya yang mempunyai akal dan budi yang tinggi. Kedudukannya yang strategik di segi geograsi menjadikannya daerah yang penting di dunia dan khasnya di Asia Tenggara.
Tetapi apakah yang menjadikan negara kita masih lagi tidak mampu menjadi negara yang kuat walau pun di peringkat Asia Tenggara? Kita tidak gagah, kita tidak berani. Kita juga masih tidak mampu menentukan masa depan sendiri.
Adakah disebabkan keberanian kita sudah tidak lagi ada? Tidak seperti generasi nenek moyang kita dahulu yang sanggup bermandi darah dan keringat untuk memerdekakan negara?
Atau adakah kerana kita terlalu setia kepada kuasa besar dari Barat dan Timur? Hingga kita hilang kemahuan untuk menentukan masa depan sendiri?
Atau kerana kemodenan yang berlaku dengan pesat sebenarnya sudah merubah akal dan budi kita hingga menjadi manusia yang berbeza dengan generasi asal kita?
Sempena kedatangan bulan kemerdekaan ini, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama kita membulatkan tekad kita membangunkan negara menjadi:
1. Sebuah negara yang bebas dan merdeka, mampu menentukan masa depan kita sendiri tanpa dicatur oleh kuasa asing sama ada dari Barat atau Timur. Negara yang ada acuannya yang tersendiri tanpa perlu meniru acuan negara lain.
2. Sebuah negara yang mampu membangunkan segala potensi di dalamnya sama ada dari segi potensi sumber alam, sumber tenaga manusia, kepakaran dan teknologi, kekuatan budaya dan lain-lain ke arah menjadi sebuah negara yang kuat, gagah dan dihormati.
3. Sebuah negara yang kuat dalam menjaga keselamatan dalam negara dan keselamatan sempadan. Supaya rakyat di dalamnya dapat hidup dengan aman dan selesa tanpa ada rasa takut dan bimbang.
4. Sebuah negara yang mampu memayungi negara-negara jiran sekelilingnya dengan limpahan rahmat. Sehingga rantau ini membangun bersama sebagai sebuah rantau yang aman dan bebas.
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Al-An’am: 153)
Wallahu a’lam
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)