Tidak dapat dinafikan bahawa di antara Tafsir al-Quran yang termasyhur pada masakini ialah Tafsir al-Qur’an al-‘Azim yang dikarang oleh Ibn Kathir. Buktinya kita boleh lihat apabila tafsir ini sering dikuliahkan dimeja-meja penceramah dan menjadi syarahan utama di dalam kuliah. Jadi bagaimana Tafsir Ibn Kathir ini boleh jadi menjadi suatu tafsir yang diguna dengan meluas?
Tahukah kita bagaimana Tafsir Ibn Kathir ini boleh menjadi sebagai salah satu Tafsir yang terkemuka pada masakini? Ceritanya bermula pada kurun ke-8H, apabila Ibn Taimiyah mula mengarang karya monumentalnya iaitu Muqaddimah fi Usul al-Tafsir. Karya ini sangat-sangat penting khususnya pada peneliti di dalam bidang Tafsir al-Quran.
Mengapa? Kerana pada karya inilah kali pertama terma: Tafsir bi al-Ma’thur (bi al-Quran, bi al-Sunnah, bi Aqwal al-Sahabah) digunakan di dalam Wacana Tafsir al-Quran. Adakah sebelum ini tidak pernah digunakan? Jawapannya ialah ya dan juga tidak.
Ya, kerana Ibn Taimiyah-lah yang secara jelas dan eksplisit dalam menggunakan terma ini.
Tidak, kerana ada beberapa para mufassirin ada menggunakan metod ini, namun tidak diaplikasikan dalam jumlah yang relevan.
Jadi, siapakah tokoh yang pertama yang benar-benar menggunakan dan mengaplikasikan metod ini dalam dalam mentafsirkan Al-Quran?
Jawapannya bukanlah Ibn Taimiyah, kerana beliau menulis Muqaddimah fi Usul al-Tafsir pada hujung hayat beliau (dan di dalam penjara dan melalui ingatan sahaja!) dan tidak sempat menghasilkan karya Tafsir al-Quran dalam satu buku yang lengkap.
Maka, obor ilmu ini telah diserahkan kepada anak murid beliau, Ibn Kathir. Ada beberapa tokoh masakini menggelarkan Ibn Kathir sebagai ‘spokeperson’ Ibn Taimiyah, kerana beliaulah yang benar-benar telah mengaplikasikan metod Tafsir bi al-Ma’thur (TbM) di dalam karya beliau.
Maka, adakah ini menjadikan tafsir beliau sebagai tafsir yang terkenal pada masakini? Tidak sama sekali, kerana tafsir beliau banyak digunakan secara meluas hanyalah apabila tibanya akhir kurun ke-19M dan awal kurun ke-20M.
Kerana sebelum itu, tafsir yang paling berpengaruh dan banyak digunakan di seantero Dunia Islam ialah Tafsir al-Kashshaf oleh al-Zamakhshari dan Tafsir Anwar al-Tanzil oleh Al-Baydawi.
Tafsir Ibn Kathir mula terbit di dalam Wacana Tafsir Al-Quran apabila ia telah diterbitkan semula pada tahun 1877M, namun ia hanyalah sekadar berada di hamish dan di hasyiaḥkan (sahaja!) pada Tafsir Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran.
Tafsir ini adalah penulisan oleh Muhammad Siddiq Hasan Khan, seorang Tokoh Ahl-i-hadis yang berpengaruh di Benua Kecil India. Tafsir beliau ini tercatat di dalam sejarah percetakan Tafsir al-Qur’an, sebagai tafsir yang terawal dicetak dan juga tafsir yang menggunakan metod TbM. Bahkan, tafsir ini dicetak menggunakan kewangan penulisnya sendiri.
Pada tahun 1884M, barulah Tafsir Ibn Kathir mula dicetak secara berasingan, oleh Cetakan Bulaq, sebanyak 4 jilid. Bagi yang sudah biasa dengan Cetakan Bulaq ini maka boleh membayangkan bagaimana rupa bentuknya, tulisan yang compact dan padat dalam satu mukasurat.
Maka ianya tidak mesra marhaen, namun cetakan ini sangat lumayan bagi pemburu buku. Ibn Kathir benar-benar telah menempah namanya dalam bidang Tafsir pada kurun ke-20M apabila Rashid Ridha berjaya mencetak Tafsir Ibn Kathir. Ini adalah dengan bantuan kewangan pada Rashid Ridha dari bakal Raja Arab Saudi pada ketika itu iaitu Abd al-Aziz al-Saud pada tahun 1924M.
Kali ini ianya dicetak sebanyak 9 jilid dengan cetakan yang ‘lebih cantik dan moden’. Dengan terhasilnya Cetakan ini, yang diusahakan oleh Rashid Ridha, maka ilmuan berpendapat Metod TbM di dalam Tafsir al-Quran telah menguasa Wacana Tafsir Al-Quran sehingga kini.
Namun, selain Rashid Ridha, seorang lagi tokoh yang dimana Ibn Taimiyah dan Alirah Salafiah sangat terhutang budi padanya, dan sayangnya tokoh ini kurang diberi perhatian.
Beliau ialah Jamal al-Din al-Qasimi, dengan usaha beliau (dan ‘circle’ beliau semisal Tahir al-Jaza’iri, Muhammad Bahjat Baitar, Muhammad Jamil al-Shatti dan Muhibb al-Din al-Khatib) dalam memburu manuskrip-manuskrip yang sangat penting.
Antara mansukrip yang penting yang telah bejaya diusahakan oleh Madrasah Islah di Syam ialah Muqaddimah fi Usul al-Tafsir. Boleh dikatakan tanpa usaha mereka mungkin kita tidak akan dapat (atau lambat) untuk membaca karya ini Ibn Taimiyah ini, bahkan agak mustahil untuk Siddiq Khan menghasilkan tafsir beliau.
Jamal al-Din al-Qasimi serta ‘circle’nya juga telah melawan arus pada zaman hidup mereka, apabila memperkenalkan karya tafsir seperti ‘Fath al-Qadir al-Jami’ Baina Fannay al-Riwayah wa al-Dirayah fi Ilm al-Tafsir’ oleh al-Syaukani dan ‘al-Fauz al-Kabir fi Ilm al-Tafsir’ oleh Shah Waliyullah al-Dehlawi.
Karya-karya ini dikira agak ‘rare’ dan ‘marginal’ pada ketika itu. Kerana teks yang paling utama pada ketika itu ialah Tafsir al-Baydawi serta Hasyiah-hasyiah ke atasnya. Usaha-usaha Madrasah Islah Syam ini sedikit sebanyak telah mengikis pengaruh Anwar al-Tanzil dan telah mengangkat Tafsir Ibn Kathir dan Metod Tafsir bi al-Ma’thur sebagai arus perdana.
Bahkan dalam karya al-Qasimi, Mahasin al-Ta’wil, banyak diceduk dari sumber-sumber semisal Ibn Taimiyah, Ibn Kathir, Ibn al-Qayyim, Fakhr al-Din al-Razi dan al-Syatibi.
Oleh itu, pada masakini, khususnya pada abad ke-20M & 21M, Wacana Tafsir Al-Quran sangat didominasi oleh Tafsir bi al-Ma’thur, bahkan banyak kajian ilmiah dan pusat-pusat kajian al-Quran diasaskan dan didsarai dengan cara pandang Tafsir bi al-Ma’thur. Begitulah secara ringkas perkembangan penulisan Tafsir Al-Quran dan Tafsir bi al-Mathur secara umum dan ringkasnya. Semoga bermanfaat untuk semua. Wallahu’alam.
Sumber : FB Anas Latif
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam