BAITULMAQDIS – Kebakaran besar di hutan bukit berdekatan Baitulmaqdis berjaya dikawal, setelah pasukan bomba Israel – yang turut dibantu anggota Palestin dan Tentera Udara Israel – berusaha memadamkan kebakaran selama tiga hari.
Pasukan bomba Israel mendakwa, tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kebakaran terburuk di wilayah Baitulmaqdis itu selama bertahun-tahun.
Penduduk yang dipindahkan dari beberapa komuniti kecil telah kembali ke kediaman pada Isnin, dan Israel menarik balik permintaan untuk sokongan udara antarabangsa bagi memadamkan kebakaran di kawasan seluas lebih 4,200 ekar itu.
Perkhidmatan bomba Israel dalam satu kenyataan mendakwa, setelah 52 jam mengawal api, semua kawasan terbabit kebakaran di sekitar Baitulmaqdis dapat dikawal.
Ratusan keluarga dipindahkan dari 10 kampung di sebelah barat bandar sepanjang tempoh tiga hari itu. Bagaimanapun tiada korban jiwa dilaporkan.
Kebakaran yang berlaku pada Ahad itu menyebabkan kepulan asap besar memenuhi ruang udara di seluruh bandar.
Operasi memadam kebakaran turut disertai beberapa trak bomba daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mengambil bahagian sejak Selasa.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemimpin PA (Mahmoud) Abbas atas inisiatifnya menghantar anggota bomba untuk membantu Israel.
“Keprihatinan ini dan menyelamatkan nyawa manusia adalah kepentingan bersama bagi kita semua,” kata Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz dalam satu kenyataan.- Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)