1.Pekembangan di Afghanistan adalah perkembangan yang mencabar walaupun ia boleh dijangkakan begitu sejak 30 tahun lepas. Kestabilan dan keamanan adalah tema yang seolah-olah hilang di Afghanistan sejak berdekad lamanya. Bermula dari fasa perang Afghanistan-Soviet, diikuti dengan pertelingkahan sesama kumpulan-kumpulan mujahidin di dalam menentukan pemerintah negara, diikuti dengan penguasaan Taliban yang mengamalkan dasar yang agak ekstrim dan berakhir dengan era Afghanistan di bawah ‘penjagaan’ tentera Amerika. Kini ia memasuki era baru dengan kemunculan Taliban yang menjanjikan wajah baru dalam pentadbiran negara.
2. Cabaran utama antaranya adalah untuk mengembalikan kehidupan bersosial yang tenang setelah sekian lama duduk di dalam kancah peperangan. Menukar stail kepimpinan dari kepimpinan ala tentera kepada kepimpinan sivil menuntut juga perubahan cara hidup masyarakat dari masyarakat bersenjata kepada masyarakat bebas tanpa senjata.
3. Mereka perlu ada gambaran menyeluruh tentang bagaimanakah bentuk negara Islam yang sebenar dan langkah-langkah awal untuk menuju ke arah itu. Jika gambaran bentuk negara itu sendiri tidak jelas, dengan mudah akan berlaku samada keekstriman melampau dalam pengurusan negara atau pengabaian banyak aspek hingga menyebabkan pembangunan negara tidak berlaku secara menyeluruh. Dan kedua-duanya akan merugikan negara untuk tempoh berdekad lagi yang akan datang.
4. Afghanistan yang berperang dengan Soviet Union selama 10 tahun dan kemudiannya duduk di bawah tentera Amerika untuk tempoh 20 tahun seterusnya, perlu untuk bangun membina kekuatan dalaman sendiri dan memutuskan kebergantungan kepada kuasa luar sedikit demi sedikit. Masih ramai rakyat Afghanistan yang risau nasib mereka bila tentera Amerika tidak ada lagi di Afghanistan. Ini menunjukkan kebergantungan yang tinggi kepada kuasa luar masih wujud dalam pemikiran sebahagian rakyat. Dan tidak mustahil dengan perasaan itu, rakyat akan mengambil jalan pintas untuk menerima perlindungan dari kuasa luar lain seperti China dan sebagainya.
5. Afghanistan akan terus menjadi medan yang dicatur oleh kuasa luar sehinggalah mereka mampu untuk membina kesatuan umat Islam di dalam negara, mempunyai pemimpin yang tidak pro Barat atau Timur serta mempunyai gambaran yang jelas tentang bentuk negara yang akan dibina. Jika faktor-faktor ini tidak diselesaikan, Afghanistan akan masuk ke konflik baru perang saudara yang kemudiannya mengundang campur tangan dari lebih banyak kuasa luar. Amerika sendiri yang telah menghabiskan lebih dari 900 billion dollar di Afghanistan, tidak akan mensia-siakan pelaburan mereka itu. Usaha mencatur dari Amerika akan terus berlaku cuma bentuknya sahaja yang masih belum jelas.
6. Doa kita terhadap Afghanistan, moga negara yang kaya sumber alam dan strategik ini akan terus bertahan dan kuat untuk menghadapi cabaran seterusnya.
Wallahu a’lam
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)