Jangan tinggal Ayat Kursi selepas solat

  1. Pesan pada diri dan anak-anak agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setelah selesai menunaikan solat. Perkara ini adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Nabi ﷺ sendiri. Sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلا الْمَوْتُ

“Barangsiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian. (Iaitu hanya kematian sahaja yang menghalangnya, setelah mati, dia akan mudah ke syurga) (HR al-Nasa’i dan al-Tabrani- hadis Sahih)

  1. Hadis ini jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setiap kali selesai dari solat. Malah ayat Kursi turut diiktiraf oleh Rasulullah ﷺ sebagai salah satu ayat yang agung. Perkara ini pernah ditanya kepada Saidina Ubai bin Ka’b. Sabda Rasulullah:

يَا أَبَا الْمُنْذِرِ، أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ»؟ قَالَ: قُلْتُ: }اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ{ . قَالَ: فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ :«وَاللَّهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ

“Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai), apakah ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Ubai lalu membaca permulaan ayat Kursi. Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya: “Bergembiralah (tahniah buatmu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu al-Munzir. (HR Muslim)

  1. Apa yang membuatkan ayat Kursi dianggap sebagai ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi yang mengatakan:

إن آية الكرسي تميزت بكونها خاصة بالثناء على الذات العليا لله عز وجل وتنزيهه ووصفه بكل كمال يليق

“Sesungguhnya ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnnya yang memuji dan mengagungkan zat Allah yang Maha Tinggi, menyucikanNya serta menyifatkanNya dengan sifat yang layak bagi zat Allah.”

  1. al-Qardawi turut menjelaskan bahawa ayat Kursi ini boleh dibahagikan kepada sepuluh bahagian. Kesemua sepuluh bahagian ini mengandungi elemen yang mengagungkan Zat Allah. Kata beliau:

إن آية الكرسي بها عشر جمل كلها ثناء على الله عز وجل، والجملة الأولى «الله لا إله إلا هو» وهي تثبت التوحيد، لا شريك لله

“Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki sepuluh bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji Allah. Kenyataan pertama dari ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mana ia mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagi Allah.”

  1. Atas kehebatan dan keagungan ayat yang mengesakan Allah ini, maka tidak hairanlah syaitan tidak berani mendekati mereka yang membaca ayat Kursi sebelum tidur seperti yang diceritakankan oleh Saidina Abu Hurairah dalam riwayat al-Bukhari. Malah rumah yang dibaca ayat Kursi akan digeruni oleh syaitan seperti yang dinukilkan dalam hadith:

فإنه لا يقرأها أحد إذا دخل بيته إلا خرج الشيطان

“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.” (Tafsir Ibn Kathir)

  1. Maka berikanlah pesanan buat diri, anak-anak dan ahli keluarga kita agar tidak lekang dari membaca ayat Kursi. Lazimi diri membacanya samada setiap kali selesai dari solat, sebelum tidur, setiap kali masuk rumah atau di waktu pagi dan petang. Basahi lidah kita dengan ayat agung ini. Mudah-mudahan Allah memelihara hambanya yang sentiasa mengagungkan Tuhannya.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts