- Andai hati merasa sedih kerana diejek, dicerca atau dipandang rendah oleh manusia, kembalilah kepada al-Quran. Hayati Kalam Allah yang menenangkan jiwa. Ketahuilah saat manusia membenci dan menjauhi, Allah dekat dan menyayangi.
- Menurut al-Imam Ibn Kathir, pernah suatu ketika, wahyu turun sedikit lewat sehingga kaum musyrikin mula mengejek Rasulullah dengan mengatakan bahawa Allah telah menjauhi dan meninggalkan Rasulullah. Lalu Allah menurunkan ayat:
مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ
“(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).” (Surah al-Duha: 3)
- Perhatikan ayat ini, saat Rasulullah dirundung kesedihan, Allah turunkan ayat-ayat al-Quran yang memujuk dan menyejukkan hati Baginda.
4.Ingatkah kita insiden yang berlaku pada Tahun Kesedihan? Rasulullah kehilangan insan kesayangan Baginda iaitu Saidatina Khadijah dan Abu Talib yang banyak mempertahankan Islam. Rasulullah berasa sangat sedih sehingga tahun tersebut dikenali sebagai Tahun Kesedihan. Lalu Allah turunkan Surah Yusuf untuk menenteramkan hati Baginda.
- Menurut Sheikh al-Tantawi, Surah Yusuf diturunkan pada saat Baginda sedang ditimpa tekanan yang maha dahsyat dalam ujian dakwah. Kata al-Tantawi:
كان نزولها في هذه الفترة، التي تعتبر من أشق الفترات في حياة النبي إذ تعرض خلالها للكثير من أذى المشركين، بعد أن فقد صلى الله عليه وسلم في هذه الفترة عمه أبا طالب، وزوجه السيدة خديجة- رضى الله عنها
“Sesungguhnya penurunannya (iaitu Surah Yusuf) ini adalah pada saat yang dianggap tempoh yang paling sukar yang dilalui oleh Rasulullah iaitu ketika Baginda berhadapan dengan tekanan dan seksaan dari musyrikin setelah meninggalnya Abu Talib dan isteri Baginda Saidatina Khadijah. (Tafsir al-Wasit)
- Insiden-insiden ini menunjukkan bahawa saat Rasulullah ditimpa kesedihan, Allah akan menurunkan al-Quran bagi menenangkan jiwa Baginda. Oleh yang demikian, saat jiwa kita berasa sedih dan tertekan di musim pandemik ini, maka kembalilah kepada Allah dan bacalah al-Quran.
- Jadikan al-Quran sebagai penawar dan penyejuk hati orang yang beriman. Hayati setiap bilah perkataan serta mesej yang ingin disampaikan. Al-Quran adalah Kalamullah, mukjizat yang menjadi penawar buat jiwa yang terluka.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)