Malaysia mempunyai sejarah yang unik dan tersendiri hasil dari pengalaman lama berinteraksi dengan pelbagai agama, bangsa, budaya, dan juga ketamadunan. Sejarah banyak mencatatkan kegemilangan kerajaan-kerajaan di alam Melayu dahulu dalam menguruskan sesebuah kehidupan secara keseluruhan dalam sempadan geografi tertentu. Alam Melayu kemudian berhadapan dengan siri-siri penjajahan negara luar, yang bukan sahaja mengeksploitasi sumber-sumber alam bahkan mengongkong minda dan jatidiri untuk membentuk negara ini mengikut hasrat dan citarasa yang tersendiri.
Mengambil peluang hari penting dalam negara, iaitu hari kemerdekaan, wajar untuk kita bahaskan maksud kemerdekaan yang sebenar.
Erti terbesar kemerdekaan adalah kita bebas mencorak negara kita dengan acuan tersendiri tanpa dipengaruhi unsur-unsur luar yang bertentangan dengan agama Islam dan budaya orang Melayu.
Projek membentuk semula sebuah negara bukan sahaja memerlukan komitmen yang berterusan bahkan menuntut keberanian untuk bercita-cita, merungkai semula keburukan dan kepincangan sistem hidup sedia ada, kemudian disusuli dengan keupayaan kita untuk memperkenalkan solusi alternatif yang lebih mendasar. Sudah pasti perkara ini juga menuntut keberanian untuk berhadapan dengan hegemoni-hegemoni yang telah lama ada dan merosakkan negara ini.
Peranan dan tanggungjawab ini perlu dimainkan oleh semua individu di setiap peringkat, ia tidak patut difokuskan oleh mana-mana pihak tertentu sahaja. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni.
Sempena menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64, marilah kita bersama-sama memberikan makna yang sebenar pada kemerdekaan dan sekaligus membanting tulang dalam menentukan asas dan bentuk negara Malaysia yang tercinta ini.
Memetik kata keramat Dr. Burhanuddin Al-Helmy di dalam tulisan beliau,
“Di atas robohan kota Melaka, kita bangunkan jiwa yang merdeka”
Akhir kata, mudah-mudahan Allah S.W.T memberkati segala pengorbanan pejuang-pejuang negara suatu ketika dahulu serta kerja keras generasi pada hari ini dalam usaha meletakkan semula agama Islam ini pada kedudukan yang sebenarnya.
Ahmad Muslihuddin bin Rozlan
Timbalan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)