Bagaimana mengenali Tuhan boleh memberi kebahagiaan ?

Kita mungkin melalui langit dan bumi yang sama, tetapi kehidupan kita tak sama.

Kita berbeza perspektif terhadap Tuhan, sebesar mana Tuhan itu dalam diri kita, sebesar itu jugalah jurang perbezaan antara kehidupan kita.

Kehidupan bertambah makna, nilai, pahala, hikmah, ilmu, cinta, khusyuk dan bahagia, berkadaran dengan makna Tuhan yang ada dalam diri.

Siapa yang lebih dekat, pahalanya lebih besar, siapa yang lebih jauh, pahalanya lebih kecil. Selafaz tasbih orang yang dekat, mungkin menyamai 1000 tasbih orang yang jauh, atau mungkin lebih.

Ibaratnya, orang yang jauh perlu menjerit untuk didengari, orang yang dekat hanya perlu berbisik. Orang yang jauh beribu batu perlu mengutus surat, menghantar ke pejabat pos, dan menunggu beberapa hari baharu suaranya sampai, sedangkan jiran sebelah hanya perlu mengetuk pintu untuk menyampaikan hajat.

Oleh itu untuk memperbaiki kualiti kehidupanmu, baiki dan suburkan jiwamu dalam mengenali Tuhan.

Dengan demikian baru kita boleh faham, saranan dalam ayat Allah SWT :

“Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, dan sesungguhnya perkara itu (meminta tolong dengan sabar dan solat itu) berat melainkan ke atas orang yang khusyuk. Iaitu orang yang meyakini bahawa mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka, dan mereka akan kembali kepada-Nya” – Surah Al-Baqarah, ayat 45-46

Kenapa yang khusyuk rasa ringan ?

Ini kerana bagi orang yang khusyuk, hampirnya kedudukannya dengan Allah SWT menjadikan mereka melihat bahawa segala kekuasaan, kudrat dan kekuatan hanya wujud pada-Nya.

Undang-undang dunia dan sebab musabab tidak menjadi penghalang tawakkal dan kebergantungannya kepada Allah SWT, Yang Mencipta asbab dan musabbab tersebut. Dengan demikian Allah SWT mencukupkan keperluannya, memudahkan urusannya, dan memuliakan kedudukannya.

Manakala bagi orang yang tidak khusyuk, dirinya jauh, kesabaran dan solat itu dilihat sebagai tidak logik, tidak dapat diukur, dan tidak realistik, lalu dirinya hanya terpaksa bersabar dengan penuh kesukaran, dan solat dengan penuh syak wa sangka bagaimana Tuhan boleh membahagiakan hidupnya dengan cara begini.

Pandangannya terhad kepada perkara zahir, perkara batin tidak diendahkan, kecualilah hanya sekelumit keyakinan bahawa di sana ada Tuhan yang mengatur seluruh kehidupan.

Orang yang begini kehidupannya akan sukar, kerana dia meletakkan nasib dan kebahagiaannya kepada dirinya sendiri, perancangannya sendiri, kebijaksanaannya sendiri dan semuanya itu dalam kapasiti ‘sendiri’. Ketidaktahuannya dianggap sebagai musuh, kerana ‘manusia adalah musuh kepada apa yang dia jahil’.

Dirinya perlu sempurna semua segi, barulah dia boleh tidur lena di malam hari. Suatu hari, dia akan ketahui, bahawa Tuhan akan mengujinya, sampai dia tersungkur di depan perancangannya sendiri dan memperakui, bahawa Dialah Tuhan di dalam dirinya sendiri.

وهو القاهر فوق عباده … وهو الحكيم الخبير

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts