Perjalanan mencari makna, tidak akan berhenti hingga bertemu-Nya


Perjalanan mencari makna, tidak akan berhenti hingga bertemu-Nya

Pada suatu hari saya diberi kesempatan untuk bersembang dengan seorang sahabat. Kami berbincang mengenai beberapa perspektif dan makna dalam kehidupan.

Ia bagi saya adalah suatu perbincangan yang menarik, dan membuka banyak sisi pandang saya sendiri terhadap makna-makna kehidupan dan makna ketuhanan.

Antara soalan yang hangat dan timbul dalam perbincangan adalah : Apa yang saya nak dalam hidup ini ?

Secara umumnya tak ramai yang pernah tanya saya soalan ini. Tapi saya cubalah jawab juga. Mudah-mudahan Tuhan kasihan pada saya dan beri taufiq untuk saya berada atas jalan yang benar.

Saya sebut dengan terus terang, bahawa saya hidup untuk mengenal Tuhan. Tidak lebih tidak kurang.

Kemudian beliau minta jelaskan maksud jawapan itu.

Saya cuba huraikan dengan izin Allah SWT :

Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita pada masa lalu, masa kini dan masa akan datang, ibarat suatu cebisan-cebisan pecahan pengenalan yang memperkenalkan kita kepada Tuhan, yang akan berakhir di syurga nanti apabila (dengan izin Allah dan rahmat-Nya) kita bertemu dengan-Nya.

Pertemuan dengan Tuhan adalah perhentian terakhir dalam episod himpunan cebisan ‘taaruf’ itu tadi. Ia adalah suatu pelengkap kepada segala pengalaman, ilmu, dan apa yang dilalui sejak di dunia ini lagi.

Apa yang kita fikir, rasa, belajar, lalui, alami dan tempuhi di alam dunia ini akan kekal dibawa ke akhirat nanti. Ilmu matematik, fizik, ekonomi, ilmu agama dan seumpamanya itu semua akan dibawa ke alam akhirat nanti, kisahnya tidak terhenti dengan sebuah kematian.

Oleh itu, saya hanya menggabungkan tujuan kejadian untuk kembali kepada Tuhan, dengan kehidupan yang saya lalui hari ke hari bagi membentuk suatu pengakhiran yang terbaik, dengan izin dan rahmat-Nya, suatu hari nanti.

Memori dan perkenalan dengan Tuhan itu dibina seawal hidup di dunia ini, dengan penuh kesedaran dan penghargaan bahawa itu adalah satu cebisan kecil yang perlu dihimpunkan, dikumpulkan, dicantumkan, hingga membentuk suatu pertemuan akhir yang paling sempurna, suatu hari nanti.

Perbualan itu diteruskan dengan persoalan yang saya timbulkan padanya.

Saya katakan padanya : Apa yang dirasai ketika bertemu manusia, pergi ke hutan, dan pergi ke tempat-tempat yang ada. Apakah perasaannya ?

Dia menjawab : Saya pergi ke suatu tempat, atau bertemu dengan seseorang, pasti mempunyai objektif tertentu yang ingin dicapai. Tiada apa-apa perasaan khusus yang timbul.

Saya mengatakan : Dengan demikian, anda hanya menyusun kehidupan, tetapi anda tidak pun hidup. Aktiviti seharian dan rencah kehidupan perlu disusun, itu benar, tetapi yang lebih perlu adalah ‘kehidupan’ itu sendiri.

Kehidupan itu dibina dengan tujuan, perasaan, rasa ingin tahu, mempelajari makna baru atau mendalaminya, dan sudut-sudut lain yang perlu diisi bagi melengkapkan perjalanan manusia yang benar.

Apabila kita hidup dengan sekadar menyusun rutin kehidupan, hakikatnya kita tidak berkembang secara hakikat seorang manusia. Manusia ini hakikatnya roh yang ditiupkan kepada jasad.

Bila jasad ini sudah tamat tarikh luputnya, maka roh akan pergi ke alam barzakh. Perjalanannya di alam barzakh akan bermula, dan ia akan sentiasa belajar perkara baru, merasai peristiwa baru, dan mengalami benda-benda baharu.

Saya nyatakan kehidupan yang hanya menyusun rutin harian dan tidak lebih daripada itu, adalah suatu kehidupan yang hilang maknanya. Dalam erti kata lain, hilang seri ‘hidup’nya.

Apabila saya meletakkan bahawa kehidupan yang dilalui ini hanyalah satu bentuk ‘taaruf’ kita dengan Tuhan, maka dengan segala yang dilalui itu terzahir padanya segala makna nama-nama Tuhan ‘Al-Asma’ Al-Husna’ dengan segala sudut penciptaan-Nya.

Tasbih dan zikir ketika itu tidak perlu dilafaz dengan lidah, ia berlaku dengan sekerdipan mata. Selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW pula berlaku tanpa suara, ia bertukar menjadi ibarat nafas yang keluar daripada rongga secara sendirinya.

Bagaimana ia tidak berlaku kalau semuanya adalah petunjuk kepada-Nya ? Bagaimana ia tidak terkeluar kalau semua makhluk sedang membuktikan kewujudan-Nya, dan kenabian Rasul-Nya SAW ?

Dengan demikian, setiap episod dalam hidup yang dilalui bertukar menjadi ibadah dan munajat. Ketika itu, setiap tidur dan bangun, makan dan minum, kerja dan cuti, dan semua rutin kehidupan bertukar menjadi mihrab perhambaan.

Hamba yang bersimpuh di hadapan Tuhan, mencari dan menagih rahmat dan kasih-Nya, pada setiap sudut-sudut kehidupan.

Kalaulah perjalanan mengenali Tuhan itu bukanlah makna bagi hakikat kehidupan, apakah di sana ada yang lebih bermakna daripada itu ?


الله لا إله إلا هو الحي القيوم


Wallahua’lam bissawaab

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts