ISLAMABAD – Pakistan memberi amaran bahawa Afghanistan boleh diancam ke dalam krisis kemanusiaan ekoran jutaan penduduknya memerlukan bantuan segera.
Duta Besar Pakistan untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Munir Akram dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak antarabangsa perlu mencegah keadaan itu daripada menjadi semakin buruk, kerana dibimbangi boleh mencetuskan aliran keluar pelarian dan merumitkan prospek membina keamanan serta keselamatan.
“Oleh kerana wabak pandemik COVID-19, kegagalan pemerintah dahulu dan salah laku mereka, situasi kemanusiaan di Afghanistan mengerikan dengan hampir 18 juta penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan segera,” katanya.
Akram berkata, masyarakat antarabangsa harus mengambil iktibar daripada masa lalu, selain terus terlibat dalam isu Afghanistan kerana ketidakstabilan dan keruntuhan ekonomi akan mengekalkan konflik serta memanjangkan penderitaan rakyat di negara itu.
Katanya, lebih sejuta penduduk Afghanistan telah terbunuh, cedera, hilang upaya kekal dan trauma selama empat dekad perang yang turut memusnahkan ekonomi negara.
“Keadaan ini tidak akan menguntungkan sesiapa pun kecuali mereka yang melihat konflik berlanjutan di Afghanistan sebagai peluang untuk memanfaatkan kekacauan dengan menaja keganasan dari wilayahnya.
“Hari ini Afghanistan berada di titik genting dalam sejarahnya. Rakyat Afghanistan boleh dengan sokongan masyarakat antarabangsa, memulihkan keamanan dan menghidupkan kembali prospek pembangunan,” katanya.
Menekankan keperluan pemulihan perdamaian di Afghanistan, Akram berkata, Pakistan sebagai negara jiran juga terkesan dengan konflik di wilayah berkenaan.
“Apa yang disebut perang melawan keganasan, 80,000 rakyat Pakistan terbunuh dalam serangan keganasan dan ribuan lain cedera.
“Malah, ekonomi di Pakistan juga mengalami kerugian dianggarkan lebih daripada AS$150 bilion,” katanya. – Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)