Adakah wajib solat taubat jika tidak hadir solat Jumaat sebanyak tiga kali?

SOALAN 

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah para lelaki mukallaf yang tidak hadir solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut kerana mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan kerajaan wajib untuk bertaubat dengan mendirikan solat sunat taubat? Mohon penjelasan. Terima kasih. 

RINGKASAN JAWAPAN 

Tidak diwajibkan bertaubat dan juga tidak wajib mengerjakan solat taubat bagi mereka yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut disebabkan mematuhi arahan kerajaan dan menjaga diri daripada wabak Covid-19. 

Hal ini kerana ia termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan oleh syarak, maka ia bukanlah satu dosa yang memerlukan kepada taubat. Dalam situasi sekarang digalakkan untuk kita sentiasa beristighfar kepada Allah SWT dalam setiap masa kerana Rasulullah SAW sendiri beristighfar sebanyak seratus kali sehari walaupun Baginda SAW maksum.

 Walau bagaimanapun, seseorang lelaki yang mukallaf perlulah untuk berusaha dengan sebaiknya mendapatkan tempat jika dibenarkan solat Jumaat di masjid dengan kouta dan SOP yang tertentu yang ditetapkan oleh pihak masjid seperti mengisi borang yang disediakan dan hadir awal ke masjid. Ini supaya tidak termasuk dalam perbuatan mengambil ringan kewajipan solat Jumaat sehingga tidak mempedulikan tentangnya. WaAllahu a’lam.

 HURAIAN JAWAPAN 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

 Allah SWT telah menetapkan tentang kewajipan solat Jumaat ke atas lelaki yang mukallaf di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

 Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu’ah: 9)

 Begitu juga, Rasulullah SAW memberi ancaman kepada orang yang meninggalkan solat Jumaat secara sengaja dan mengambil mudah tentang kewajipannya dengan Allah SWT akan mengunci mati hatinya.

Rasulullah SAW bersabda: مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ 

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil ringan akannya, nescaya Allah SWT akan mengunci mati hatinya. Riwayat Abu Daud (1052) dan al-Nasa’ie (1369)

Selain itu, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan al-Nasaie, Rasulullah SAW bersabda: لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ، أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ، ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ 

Maksudnya: Hendaklah sesuatu kaum itu menghentikan daripada perbuatan mereka meninggalkan solat Jumaat, jika tidak Allah akan menutup hati-hati mereka, maka demikian mereka akan tergolong daripada golongan yang lalai. Riwayat Muslim dan al-Nasa’ie

 Berkaitan hadis-hadis ini, kami telah menghuraikannya bahawa ancaman tersebut merujuk kepada mereka yang meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan di sisi syarak.

Jika sekiranya seseorang itu meninggalkannya walau sebanyak tiga kali berturut-turut disebabkan keuzuran yang dibenarkan syarak, maka dia tidak termasuk dalam ancaman ini.

Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk artikel Al-Kafi #1674 : Meninggalkan Tiga Kali Solat Jumaat Dalam Suasana Covid- 19. Oleh yang demikian, jika seseorang meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran seperti khuatir menularnya wabak Covid-19 serta mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan, maka dia tidak berdosa.

Kewajipan untuk bertaubat kepada sesiapa yang sengaja melakukan dosa sama ada melakukan maksiat atau meninggalkan kewajipan.

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitab Riyadh al-Salihin bahawa:

 ويجِبُ أنْ يَتُوبَ مِنْ جميعِ الذُّنُوبِ، فَإِنْ تَابَ مِنْ بَعْضِها صَحَّتْ تَوْبَتُهُ عِنْدَ أهْلِ الحَقِّ مِنْ ذلِكَ الذَّنْبِ وبَقِيَ عَلَيهِ البَاقي. وَقَدْ تَظَاهَرَتْ دَلائِلُ الكتَابِ والسُّنَّةِ، وإجْمَاعِ الأُمَّةِ عَلَى وُجوبِ التَّوبةِ.

 Maksudnya: Wajib untuk bertaubat ke atas semua dosa-dosa, jika sekiranya seseorang itu bertaubat ke atas sebahagian sahaja daripada dosa-dosanya, maka taubat sah bagi dosa-dosa tersebut di sisi para ulama’. Oleh itu, masih berbaki lagi dosa-dosa yang belum dia bertaubat.

Terdapat banyak dalil-dalil daripada al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulama berkaitan kewajipan bertaubat. (Rujuk Riyadh al-Salihin Min Kalam Sayyid al-Mursalin: 17)

Justeru, tidak wajib ke atasnya untuk bertaubat dan solat taubat atas perkara tersebut kerana ia bukanlah satu dosa yang memerlukan kepada taubat.

Namun digalakkan untuk memperbanyakkan beristighfar di setiap masa dan waktu kerana Rasulullah SAW sendiri beristighfar sebanyak seratus kali sehari walaupun Baginda SAW seorang yang maksum.

Sabda Nabi SAW: يَا أَيُّهَا النَّاسُ، تُوبُوا إِلَى اللَّهِ، فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ 

Maksudnya: Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kalian kepada Allah SWT. Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah SWT seratus kali dalam sehari. Riwayat Muslim

Walau bagaimanapun, seseorang lelaki yang mukallaf itu hendaklah berusaha dengan sebaiknya untuk mendapatkan tempat jika dibenarkan solat Jumaat di masjid dengan kouta dan SOP yang telah ditentukan.

Antara usaha yang perlu dilakukan ialah seperti mengisi borang yang disediakan dan hadir awal ke masjid.

Berkaitan hal ini, rujuk artikel Al-Kafi #1735 : Adakah Wajib Hadir Beratur Untuk Mendapat Tempat Bagi Solat Jumaat Pada Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)? 

Berbalik kepada maksud hadis yang dinyatakan sebelum ini, ia memberi gambaran jelas bahawa golongan lelaki yang mukallaf tidak boleh mengambil ringan tentang kewajipan solat Jumaat.

Imam Badruddin al-Aini menjelaskan maksud lafaz تَهَاوُنًا (mengambil ringan) sepertimana yang dinyatakan dalam hadis di atas, kata beliau:

 قوله: “تهاونا بها” أي: كسلاً واستهتارا بها 

Maksudnya: (Maksud) sabda Rasulullah SAW “mengambil ringan terhadapnya (kewajipan solat Jumaat)” ialah meninggalkannya kerana bermalasan dan tidak peduli tentangnya. (Rujuk Syarah Sunan Abi Daud, 4:372) 

Manakala menurut Imam al-Suyuti dalam tentang maksud hadis ini:

 الظَّاهِر أَن المُرَاد بالتهاون التكاسل وَعدم الْجد فِي أَدَائِهِ لَا الاهانة وَالِاسْتِخْفَاف فَإِنَّهُ كفر 

Maksudnya: Apa yang nyata bahawa maksud mengambil ringan ialah bermalas-malasan dan tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya, bukan maksud menghina dan memandang enteng (kewajipannya) kerana perkara tersebut adalah satu kekufuran. (Rujuk Syarh Sunan Ibn Majah, 1:79)

 Kesimpulannya, dapat difahami bahawa perlulah ada usaha dan kesungguhan untuk melaksanakan solat Jumaat di masjid supaya tidak timbul rasa bermalas-malasan dan tidak mempedulikan kewajipan solat Jumaat.

Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kisah Imam al-Buwaithi, seorang anak murid Imam al-Syafie, yang diriwayatkan bahawa beliau walaupun dipenjara, beliau akan mandi dan memakai pakaian yang terbaik baginya pada setiap hari Jumaat, kemudian beliau pergi mengetuk pintu jeriji penjara bagi menarik perhatian pengawal penjara.

Lalu pengawal penjara itu bertanya kepada beliau, “Apa yang tuan mahu?”. Kata beliau, “Aku mahu menyahut seruan Tuhan-ku (azan Jumaat)”, walaupun dia mengetahui pengawal penjara tersebut tidak akan membenarkannya keluar.

Begitulah pada setiap hari Jumaat, Imam al-Buwaithi melakukan hal yang sama sebagai usaha beliau untuk pergi mendirikan solat Jumaat. Rahimahullah taala. WaAllahu a’lam.- Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts