Keningau: “Saya bantu kerana tersentuh melihat kesungguhan mereka menunaikan solat tepat pada masanya walaupun dalam keadaan serba kekurangan,” kata Wendy Inggu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Salong, Nabawan di sini.
Wendy, 28, berkata demikian ketika diminta berkongsi kisah di sebalik gambar pemuda menunaikan solat di atas kepingan zink di pekarangan rumahnya dimuat naiknya di akaun Instagram (IG) miliknya.
Dalam perkongsian keduanya mengenai pemuda terbabit, Wendy yang mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Sejarah turut berkongsi gambar dua pemuda itu menunaikan solat di bawah kanopi dekat luar rumahnya hingga tular di laman sosial.
Berkongsi kisah berkenaan, Wendy berkata, pemuda dalam gambar itu diupah melakukan kerja mengubah suai dapur rumahnya dekat Taman Sabana di sini.
Menurutnya, gambar itu dirakamnya pada Rabu lalu ketika pemuda berkenaan berehat untuk waktu makan tengah hari.
“Saya sedang mencuci pinggan di dapur dan tiba-tiba terpandang seorang daripada pekerja itu menunaikan solat di atas kepingan zink.
“Ia membuatkan saya berasa terpukul dan bersalah kerana tidak peka. Jika saya bertanya lebih awal, tentu saya dapat menyediakan tempat solat lebih selesa.
“Ketika itu, suami tiada di rumah dan saya terus menghubunginya untuk membeli kanopi kerana kasihan melihat pekerja terbabit menunaikan solat di tempat terbuka walaupun cuaca tidak panas ketika itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menyedari keperluan itu, Wendy dan suami, Allan Don Anthony, 29, tidak berlengah dan terus tempatkan sediakan kanopi di luar rumah pada keesokan harinya.
“Mereka (pekerja) ucap terima kasih tetapi nampak seperti segan untuk gunakan kanopi itu.
“Selepas solat Asar, mereka mahu simpan semula kanopi itu tetapi saya dan suami minta gunakan saja untuk keesokan hari serta berikutnya hingga kerja ubah suai itu selesai,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 22 bulan dan kini sudah enam bulan hamil cahaya mata kedua.
Wendy berkata, walaupun dia bukan Muslim tetapi dia mengerti kewajipan menunaikan solat lima waktu dalam Islam kerana sudah biasa bergaul dengan rakan beragama Islam.
“Dahulu, saya tinggal di asrama dan mempunyai ramai rakan Muslim dan tahu serba sedikit cara serta waktu menunaikan solat.
“Cuma, sebelum ini saya hanya baca dan lihat gambar sebegitu di laman sosial tetapi tempoh hari berpeluang menyaksikannya sendiri di depan mata.
“Walaupun berlainan agama, saya melihat apa berlaku adalah teguran daripada Tuhan terhadap saya untuk menunjukkan ada individu sanggup menunaikan solat di mana saja berada sedangkan kita ada-kalanya melengahkannya (solat) walaupun rumah lengkap dengan kemudahan.
“Lebih membuatkan saya tersentak adalah ketika bertanya mengapa tidak makan dahulu dan mereka menjawab enggan berbuat demikian selagi belum selesai solat,” katanya
Menurut Wendy, dia tidak sangka ada dalam kalangan pengikutnya di IG yang menangkap layar perkongsiannya itu hingga ia menjadi tular.
“Bagaimanapun, saya berharap perkongsian itu memberi mesej positif kerana moralnya adalah supaya tidak menilai manusia lain daripada taraf sosial mereka,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Allan yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Kuala Salong mengakui lega kerana dapat membantu sekalipun hanya dengan hanya menyediakan kanopi.
“Apabila isteri saya telefon tempoh hari untuk minta belikan kanopi dan ceritakan apa terjadi, automatik timbul perasaan kasihan terhadap mereka yang sanggup solat di tengah panas demi menunaikan kewajipan,” katanya yang mengajar subjek Matematik. – My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)