Peluang kembali ke fitrah

Persepsi, tanggapan negatif masyarakat serta beberapa faktor lain dikatakan menjadi penolakan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) untuk berubah.

Hasil inisiatif dilakukan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) banyak membuka ruang serta memulihkan persepsi itu dalam kalangan individu yang ingin berhijrah daripada mengamalkan LGBT kepada nilai insan sebenar.

Program Mukhayyam antara contoh paling berjaya program penghijrahan berkenaan yang menyantuni golongan LGBT serta mengembalikan mereka kepada ajaran Islam sebenar.

Ikuti wawancara Sekretariat Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) yang juga Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) DR MOHD IZWAN MD YUSOF bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN bagi mengupas isu ini.

Apa itu program Mukhayyam dan objektifnya?

Mukhayyam adalah sebuah program dakwah dan tarbiyah yang dilaksanakan selama tiga hari dua malam dengan lima pengisian utama.

Ia membabitkan pengukuhan kerohanian, pemahaman asas agama seperti akidah dan fardu ain, motivasi diri dan kerjaya, pendidikan kesihatan seperti HIV/Aids, penyakit berjangkit dan lain-lain serta aktiviti kecergasan fizikal.

Mukhayyam diadakan bertujuan menawarkan bimbingan kerohanian dan spiritual kepada golongan LGBT melalui pendekatan tauhid agar dapat menghadapi cabaran hidup serta kembali kepada kehidupan fitrah.

Ia juga memberi pendedahan dan bimbingan ilmu fardu ain bagi melaksanakan tuntutan agama.

Pada masa sama, ia memberikan pengetahuan dan kesedaran berkaitan kesihatan khususnya HIV/Aids dan lain-lain penyakit berjangkit.

Selain itu, ia memberikan bimbingan motivasi serta kemahiran mempertingkatkan jati diri serta menghapuskan stigma dan diskriminasi antara golongan terbabit dengan golongan agama juga masyarakat.

Berapa ramai yang sudah menyertai program ini dan kini, kembali ke fitrah asal?

Sehingga 2021, lebih 1,700 peserta menyertai program ini secara sukarela.

Tiada angka khusus tentang bilangan yang kembali ke fitrah asal kerana tahap perubahan manusia berbeza-beza mengikut keadaan diri masing-masing.

Ada dalam kalangan peserta sekurang-kurangnya kembali menunaikan solat secara konsisten, mempelajari al-Quran, memperbaiki hubungan dengan keluarga dan ibu bapa, bahkan merubah penampilan kepada fitrah sehingga dapat membimbing rakan-rakan yang lain.

Bagaimana Dr melihat golongan LGBT ini, khasnya yang terbabit dengan program Mukhayyam?

Golongan LGBT dapat dikategorikan kepada tiga.

Pertama, yang sudah berubah dan memerlukan sokongan daripada keluarga dan masyarakat.

Kedua, yang masih terlibat namun wujud rasa penyesalan dalam diri dan berusaha bermujahadah melakukan perubahan.

Masyarakat harus memberi bimbingan dan sokongan serta mengelak daripada melontarkan tohmahan kepada mereka.

Ketiga, yang meyakini bahawa keadaan diri mereka ditakdirkan Allah SWT dan nekad menjalani kehidupan dalam keadaan ini.

Golongan LGBT dalam kategori ini perlu dihadapi dengan hujah yang hikmah, bahkan sekiranya menzahirkan perbuatan mungkar dan penentangan secara terbuka, wajar dihadapi dengan tindakan undang-undang.

Maklum balas individu LGBT sepanjang terbabit dalam program?

Berdasarkan maklum balas peserta, mereka mengakui program ini dapat memperbetulkan salah faham terhadap golongan agamawan yang selama ini dianggap semata-mata bersifat menghukum.

Mereka akui dapat peluang kembali mempelajari dan menghayati tuntutan asas agama seperti solat dan fardu ain.

Kesempatan tersebut memberi ruang kepada mereka melakukan muhasabah diri serta menginsafi semula tanggungjawab kepada Allah SWT dan manusia di samping membina semula keyakinan diri.

Hakikatnya, ramai antara mereka mahu diberi peluang dan bimbingan untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Kecelaruan gender, bagaimana Dr melihat perkara ini?

Daripada sudut pandangan Islam, fitrah kejadian manusia iaitu lelaki dan wanita dan ketertarikan kepada jantina berbeza yang diikat dengan ikatan perkahwinan menurut syariat akan membina sebuah institusi keluarga dan membangunkan ketamadunan ummah.

Seseorang disifatkan mengalami kecelaruan gender dan identiti jantina apabila bertindak bersalahan dengan fitrah agama seperti lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya ataupun mempunyai ketertarikan kepada jantina sesama jenis sehingga terjerumus kepada perbuatan maksiat.

Ada dalam kalangan individu LGBT ini sanggup lari ke luar negara dan memohon perlindungan daripada negara asing untuk ‘mempertahankan kesongsangan’ mereka.

Melarikan diri daripada kesalahan dan masalah bukan cara penyelesaian mengikut panduan Islam.

Mereka tertakluk kepada undang-undang dan peraturan negara tertentu dan tindakan pasti dikenakan jika menyalahi peraturan tersebut.

Bagi orang Islam, kita percaya pembalasan di akhirat tetap menanti bagi setiap perbuatan menyalahi syariat melainkan ber taubat.

Individu terbabit juga sanggup melakukan apa saja, malah ‘keluar agama’. Mungkin ini tahap terdesak mereka?

Meninggalkan agama bukan jalan keluar dan pilihan bagi menghadapi permasalahan dalam kehidupan kerana agama hakikatnya diutuskan bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kegelapan.

Justeru, carilah bantuan ke jalan kebenaran bahkan banyak pihak bersedia untuk memberikan bimbingan dan bantuan tersebut.

Masyarakat kita sendiri sentiasa memanggil individu LGBT ini mengikut apa yang golongan ini mahukan seperti nama asal lelaki namun diberi gelar nama perempuan. Ia umpama mengiktiraf kesongsangan mereka.

Tidak ada yang lebih baik melainkan menjalani kehidupan mengikut fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Justeru, panggilan nama terbaik kepada seseorang adalah suatu doa agar manusia sentiasa menjadi lebih baik dalam kehidupannya.

LGBT tidak akan berakhir. Apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkannya atau membanterasnya?

Pertembungan di antara perkara hak dan batil berpanjangan hingga hari kiamat. Ia suatu ujian bagi manusia sama ada yang terlibat dalam perlakuan maksiat atau para pembimbing dan pendakwah.

Justeru, usaha dakwah dan tarbiyah berterusan harus dipergiatkan. Bagi golongan yang ingkar dan berdegil, tindakan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman juga dapat menjadi sebahagian kaedah didikan dan kesedaran.

Pada akhirnya, manusia yang menentukan jalan kehidupannya masing-masing dan Allah SWT akan memberikan pembalasan di atas pilihan berkenaan. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts