Mewah tanpa reda Allah

Bidin tidak pernah sedar perbuatannya selama ini amat menyimpang jauh. Dia selalu mengambil dan menerima rasuah, berfoya-foya di pusat hiburan, mencari dan mengumpul harta serta duit berkepuk dengan jalan tidak betul.

Setiap hari pada waktu bekerja, di fikirannya hanya mahu mencari keseronokan dan membuat salah guna kuasa dalam pekerjaannya. Setelah sekian lama melakukannya, dia tidak pernah ditangkap atau ada teguran dan tohmahan terhadapnya.

Dia berasakan dirinya amat hebat apabila kegiatannya sukar dan gagal dikesan ketuanya atau pucuk pimpinannya, malah dia lebih berbangga dapat naik pangkat dengan mencanak-canak pula. Sebenarnya semua perkara yang kita lakukan dan perbuatan kita adalah dengan izin Allah SWT. Ada hikmah tersembunyi di sebalik perkara jahat yang kita lakukan.

Pada saat Allah sedang menguji kita dengan ujiannya yang maha dahsyat, jangan sesekali alpa dan lupa ujian Allah itu sangat berat walaupun kita bebas atau senang pada mata kasar seseorang, tetapi mungkin batin kita merana akibat daripada perbuatan itu.

Bila-bila masa saja Allah boleh tarik kesenangan atau kemudahan yang dinikmati sekarang. Bagi Bidin yang saat ini sedang diliputi kebahagiaan, sedang berasakan rezeki lancar, kenaikan pangkat dalam jabatan atau kebahagiaan lainnya, memang sangat menyenangkan.

Dia perlu waspada apabila merasakan itu semua, tapi sering lalai dalam ibadah. Jadi, pada saat ini dia sedang mengalami istidraj.

Bahagia tapi tidak berkat itu adalah istidraj yang bermaksud pemberian nikmat Allah kepada manusia yang pemberian itu tidak diredai-Nya.

Rasullulah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat bahawa Allah SWT memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.” (Diriwayatkan oleh at-Tabrani, Ahmad dan al-Baihaqi).

Tetapi, manusia derhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya berasakan bahawa nikmat datang kepadanya adalah kerana Allah sayang serta kasih dengan perbuatan maksiat mereka.

Masih ada orang ragu-ragu kerana kalau hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat, kita mesti ikut jejak langkah Rasulullah SAW serta berpegang teguh pada agama Islam.

Tetapi, bagaimana apabila orang yang solat lima waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajud, puasa bukan pada Ramadan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat lain, tapi hidup biasa saja.

Malah, ada yang hidup susah. Kenapa? Bagaimana, pula orang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah!

Sombongnya mereka, takburnya mereka. Manusia istidraj adalah manusia lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia berasa Allah SWT menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal.

“Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku,” katanya dengan nada sombong.

Sebenarnya, kadang-kadang Allah SWT memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan menghancurkannya. Rasullulah SAW bersabda: “Apabila Allah SWT menghendaki untuk membinasakan semut, Allah SWT terbangkan semua itu dengan dua sayapnya.” (Kitab Nasaibul’Ibad).

Anai-anai, jika tidak bersayap maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah SWT hendak membinasakannya, Allah SWT berikan dia sayap. Lalu apabila bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu yang mendapat nikmat (sayap), dia akan cuba melawan api.

Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah SWT pula. Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah SWT memberikannya nikmat kesihatan.

Namrud yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah SWT, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja dibawa oleh 40 unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama hartanya akibat terlalu takbur.

Jadi, jika kita kaya, jangan sangka Allah SWT sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga. Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, terjawablah segala keraguan mengganggu fikiran kita.

Tetapi, jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah SWT bukan istidraj.

Jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup adalah mencari keredaan Allah SWT. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat diredai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat sebenarnya berkaitan nikmat diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur dengan nikmat-Nya. Dia akan menggunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa reda serta ikhlas mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Oleh itu, semua limpah kurnia diperolehi itu adalah nikmat pemberian diredai Allah SWT. Apabila tujuan hidup untuk mencari keredaan Allah SWT, nescaya selamatlah di dunia dan akhirat.

Tidak kira siapa diri kita sama ada Konstabel Bidin, Sarjan Bidin, Inspektor Bidin, Superintendan Bidin atau Datuk Bidin, perlulah berusaha dan menjauhkan diri daripada istidraj.

Bertaubatlah selagi masa masih ada dan kembali ke pangkal jalan walau bukan untuk menjadi ustaz atau ulama. Cukuplah untuk membentuk peribadi kita menjadi lebih mulia, keluarga sempurna di bawah keredaan Allah SWT.

Semoga kita dijauhkan daripada sifat buruk ini dan saya berdoa agar semua warga PDRM dijauhkan daripada sifat keji ini agar dapat melaksanakan amanah Allah SWT dengan terbaik dan cemerlang. Amin. -My Metro

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts