- Kebelakangan ini kecoh di media sosial apabila warga maya hangat memperkatakan mengenai salah laku seorang yang popular yang dikatakan terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Timbul perdebatan dalam kalangan ilmuan sendiri mengenai kedudukan yang membolehkan kita mendedahkan keaiban seseorang.
- Secara asasnya, Rasulullah mendidik muslim agar menyembunyikan kelakuan dosa dan aibnya. Maksiat yang dilakukan oleh diri sendiri tidak seharusnya dihebohkan kepada orang lain. Dalam sebuah hadis, Rasulullah mencela kaum “mujahirin” iaitu kumpulan yang menzahirkan keaiban mereka sedangkan Allah telah menutup aib mereka.
- Rasulullah turut mendidik kita agar tidak mendedahkan aib orang lain. Ini dapat diperhatikan dalam hadis yang menyebutkan: “Barangsiapa yang menutup aib saudara muslimnya, maka Allah akan menutup keaibannya di hari akhirat kelak, dan barangsiapa yang membuka aib saudara muslimnya, maka Allah akan mendedahkan keaibannya sehingga dia merasa malu dengan keaiban tersebut (sekalipun) dia berada di dalam rumahnya. (HR Ibn Majah – dinilai Sahih oleh al-Albani)
- Walaupun begitu, para sarjana Muslim pernah membincangkan mengenai disiplin dan garis panduan yang membolehkan keaiban seseorang itu didedahkan. Antaranya al-Imam al-Nawawi menggariskan terdapat enam keadaan yang membolehkan seseorang itu mendedahkan keaiban orang lain, iaitu yang pertama adalah orang yang dizalimi.
- Seseorang yang dizalimi itu dibenarkan untuk mendedahkan perilaku kezaliman dan kejahatan yang dilakukan ke atas dirinya. Sebagai contoh andai sekiranya seorang gadis itu dirogol atau dicabul, maka dia seharusnya menceritakan jenayah tersebut kepada pihak berkuasa agar jenayah ini dapat dibawa kemuka pengadilan. Kebenaran untuk mendedahkan keaiban sebegini adalah berteraskan firman Allah yang menyebutkan: Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiaya (iaitu yang dizalimi) (Surah al-Nisa: 148)
- Sekalipun Islam membenarkan seseorang itu mendedahkan keaiban seseorang dalam situasi tertentu, namun, beberapa disiplin hendaklah dijaga. Seorang muslim tidak seharusnya menyebarkan keaiban seseorang dengan sewenang-wenangnya dalam media sosial. Ini bukan sahaja boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa, malah tidak selari dengan panduan syarak.
- Dalam sebuah hadis, al-Imam al-Bukhari pernah merekodkan bagaimana Rasulullah menceritakan keaiban seorang lelaki kepada Saidatina Aisyah. Baginda menjelaskan mengenai sifat buruk lelaki tersebut dalam melayani keluarganya. Namun Baginda tidak mencanang keaiban tersebut pada setiap orang.
- Seorang mangsa perlu untuk mendedahkan kezaliman seseorang kepada penguasa, namun tidak bagi orang awam. Yang membimbangkan kita pada hari ini adalah penyebaran maklumat yang tidak terkawal oleh pihak yang tidak berkaitan yang mengaibkan peribadi seseorang sekalipun andai sekiranya dia sudah bertaubat nanti. Situasi ini seumpama seorang artis yang telah bertaubat dan kembali ke jalan hidayah, namun gambar-gambar atau video aib mereka masih tersimpan dalam data di platform maya yang akan dilihat oleh anak-anak mereka atau generasi seterusnya.
Semoga Allah mengampuni kita dan membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)