- Perhatikan Surah al-Rahman. Dalam Surah ini, Allah mempersembah dan menghitung nikmat-nikmat utama yang telah dikurniakan kepada manusia. Dan nikmat pertama yang disebutkan adalah nikmat dikurniakan kefahaman al-Quran. Firman Allah:
الرَّحْمَنُ (1) عَلَّمَ الْقُرْآنَ (2) خَلَقَ الْإِنْسَانَ (3) عَلَّمَهُ الْبَيَانَ
(Tuhan) Yang Maha Pemurah. Dia yang mengajarkan Al-Quran. Dia yang menciptakan manusia. Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. (Surah al-Rahman: 1-4)
- Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Abu Hayyan al-Andalusi menjelaskan bahawa nikmat dikurniakan kefahaman al-Quran adalah nikmat yang tertinggi sekali. Kata beliau:
ولَـمَّا عدَّد نعمه تعالى، بدأ مِن نِعَمه بما هو أعلى رُتبها، وهو تعليم القرآن
“Ketika mana Allah menghitung (satu-persatu) nikmat yang dikurniakan olehNya, Allah memulakan dengan nikmat yang paling tinggi sekali iaitu nikmat Dia mengajarkan kepada manusia al-Quran. (al-Bahr al-Muhit)
- Ini kerana al-Quran adalah asas panduan dan bimbingan manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Sesudah itu, barulah disebut tentang nikmat dijadikan manusia dan seluruh alam semesta ini.
- Atas dasar itu, maka tidak hairanlah kita melihat Rasulullah mendoakan Abdullah ibn Abbas agar dikurniakan kefahaman al-Quran. Perkara ini diceritakan oleh beliau sendiri yang menyebutkan:
ضَمَّنِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ، وقال: اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْكِتَابَ
“Rasulullah rapat kepadaku dan berdoa: Ya Allah kurniakanlah dia kefahaman al-Quran.” (HR al-Bukhari)
- Oleh yang demikian berdoalah kepada Allah agar dikurniakan kefahaman al-Quran. Ia adalah nikmat pertama yang disebutkan dalam Surah al-Rahman. Doakan kepada anak-anak kita agar dikurniakan kefahaman al-Quran seperti mana yang dibacakan oleh Rasulullah ke atas anak kecil itu iaitu Abdullah bin Abbas.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)