Kuala Lumpur: Masyarakat Islam perlu menjadikan al-Quran sebagai sahabat sepanjang masa dalam kehidupan dengan membaca, memahami serta mengamalkannya.
Ketua Pentadbir Masjid Asy-Syakirin KLCC (Masjid KLCC) Ustaz Naufal Mahpuzillah berkata, sebenarnya apabila membaca al-Quran, ia adalah satu daripada usaha mencapai, meraikan dan amalan yang menunjukkan benar-benar mahu mengikuti ajaran Rasulullah SAW.
Beliau berkata, al-Quran adalah mukjizat kepada baginda Rasulullah SAW dan baginda berpesan jika berpegang dengannya maka takkan pernah sesat.
“Rasulullah SAW meninggalkan al-Quran dan hadis sebagai bekalan untuk kita umat akhir zaman supaya beramal dengannya.
“Ia sebagai manual, SOP (prosedur operasi standard) kepada umat Islam zaman sekarang. Apa yang kita kena buat, ada garis panduannya.
“Tadarus, selawat bukan semata-mata nak dapatkan pahala. Sebaliknya kita juga nak melahirkan kesedaran terhadap masyarakat tentang pentingnya kita berselawat, membaca al-Quran. Sebab jika kita tak buat ia akan lupus sebegitu sahaja,” katanya dalam program ‘Virtual Ngaji Surah Pilihan’ anjuran Youth of Strength and Happiness (YOSH) MyFundAction menerusi Zoom, hari ini.
Surah dibaca berjemaah dalam program dengan kerjasama Badan Pengerak Muslimah Masjid KLCC, Kelab Asma’ Ul Husna, Kelab Generasi Ghuraba dan Kelab Az-Zahraj itu adalah Al-Fatihah, Al-Baqarah, Ali Imran, Al-Sajadah, Yasin, Al-Ghafir, Ad-Dukhan, Ar-Rahman, al-Waqiah, Al-Hasyr, Al-Mulk dan Al-Insan.
Program berkenaan dilaksanakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang bakal disambut Selasa ini.
Naufal berkata, hadis baginda Rasulullah SAW bermaksud ‘bacalah al-Quran kerana ayat al-Quran itu nanti akan datang kepada kamu memberi syafaat kepada orang yang bersahabat dengan al-Quran’.
Sementara itu, katanya, di peringkat pengurusan, Masjid KLCC sedang mengusahakan untuk kembali seperti biasa dengan anjuran kelas mengaji setiap hari.
“Baru-baru ini ada bertanya, kenapa buat sehari sahaja kelas mengaji. Sebab kita ada kekangan. Kita masih lagi terkesan dengan Covid-19.
“Untuk pengetahuan semua, duit masjid kita hampir tidak mampu nak bayar kos operasi pengurusan masjid, imam, bilal kita tak mampu nak bayar… kita dah hampir-hampir (sebegitu).
“Sebab kos operasi sebulan RM17,000. Kutipan Jumaat kita biasanya sebulan kira-kira RM50,000 ke RM60,000. Sepatutnya cukup. Tetapi Covid-19 yang hampir dua tahun menyebabkan kita tergendala banyak,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah menemui KLCC Properties Holding sebagai pihak pengurusan bangunan pihak berkenaan menyatakan kesediaan untuk membantu.
“Contohnya dapat bajet yang baik InsyaAllah kita akan kembali seperti biasa seperti kelas mengaji setiap hari dan kita aturkan kepada program yang lain,” katanya.-My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)