Putrajaya: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kesal dengan tindakan pihak mengeluar dan menjual arak jenama Timah yang dianggap bersifat provokatif terhadap umat Islam negara ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan, yayasan itu turut membantah penjualan arak jenama berkenaan yang jelas haram di sisi Islam dan membawa keburukan terhadap masyarakat.
Menurutnya, walau syarikat pengeluar sudah menjelaskan perkataan Timah adalah terjemahan daripada ‘Tin’ dan bukan merujuk kepada nama mana-mana wanita Islam, ia tetap tidak sesuai apatah lagi menjelang sambutan peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW.
“Tindakan pihak terbabit yang tidak sensitif terhadap sentimen masyarakat Muslim di Malaysia akan memberikan imej yang buruk kepada negara.
“Malah, tindakan berterusan memprovokasi sentimen umat Islam harus segera dihentikan kerana dikhuatiri akan menggugat keharmonian yang menjadi teras kestabilan negara,” kata kenyataan itu.
Yadim berkata, tidak wajar arak itu dipromosi secara terbuka dan meluas di negara ini yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Golongan yang meminum arak masih boleh membuat pilihan daripada jenama lain yang banyak di pasaran tanpa menyentuh sensitiviti umat Islam, katanya.
Yadim juga enggan arak Timah mengulangi kontroversi sebelum ini yang membabitkan jenama barangan yang sinonim dengan Muslim seperti daging burger babi dikenali P. Ramly pada 2016.
Yayasan itu bersetuju dengan tindakan diambil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad yang telah melaporkan perkara itu kepada kementerian bertanggungjawab untuk tindakan lanjut. – My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)