SHAH ALAM: Pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu meragut banyak nyawa ibu, bapa atau kedua-duanya yang meninggalkan anak menjadi yatim.
Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide), Nur Mohd Razali Abdullah, berkata melalui perkongsian data Yide bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Polis Kontinjen Selangor, seramai 1,403 anak kehilangan ibu bapa di Selangor.
“Daripada 1,403 orang itu, 794 anak yatim beragama Islam yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 direkodkan hingga 8 Oktober.
“Anak yang berumur lima tahun hingga 16 tahun ini sudah dan sedang dibantu oleh Yide sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1, tahun lalu sehingga kini.
“Mengikut pecahan pula, seramai 765 anak yatim kematian bapa, 317 anak yatim kematian ibu, manakala 29 anak yatim kehilangan kedua-duanya,” katanya ketika dihubungi,
Nur Mohd Razali berkata, selaku pihak yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan anak yatim beragama Islam di Selangor, Yide mengambil beberapa inisiatif agar nasib anak yatim ini terbela.
“Bagi 29 anak yatim piatu, kesemua mereka masih belajar di sekolah rendah dan menengah menerima bantuan one off (sekali bayar) RM500.
“Selain itu, setiap mereka juga diberi bantuan bulanan sebanyak RM150 bermula 8 Oktober lalu,” katanya.
Beliau berkata, Yide juga akan memperuntukkan RM158,800 setahun kepada 794 anak yatim di bawah selianya di mana setiap mereka bakal menerima RM200 setahun.
“Jumlah 794 anak yatim ini membabitkan 550 keluarga di seluruh Selangor.
“Bagi meringankan beban mereka, Yide akan menghulurkan bantuan kewangan one off sebanyak RM500 setiap keluarga ini dengan peruntukan sebanyak RM274,500,” katanya.
Terdahulu katanya, Yide mengkreditkan RM 126,300 kepada anak anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE bagi membolehkan mereka membeli kad tambah nilai bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), di kediaman masing masing.
“Yide juga melancarkan bulan kelahiran Rasulullah SAW iaitu Bulan Rabiul Awal 1443 sebagai Bulan Anak Yatim, yang mana objektifnya mengajak orang ramai bersama-sama menyantuni anak yatim ini kerana ganjaran yang dijanjikan pahala,” katanya.- Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)