Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pengeluaran produk baharu arak jenama tempatan yang dikeluarkan oleh Winepak Corporation dan dilancarkan secara rasmi pada 7 Oktober 2021. Apa yang lebih mengejutkan, arak itu mengguna pakai jenama ‘Timah’ dan berlatarbelakangkan gambar seorang lelaki yang berjanggut serta memakai penutup kepala persis seorang Muslim.
Hal ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Islam kerana ia dilihat seolah-olah satu tindakan biadab dan tidak menjaga sensitiviti orang Islam dalam negara ini, yang juga penduduk majoriti.
Selain itu, perbuatan tersebut juga menimbulkan persepsi seolah-olah ada agenda tersembunyi seperti ingin menormalisasi budaya arak dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim.
Bagaimanapun, dalam kenyataan rasmi mereka pada 15 Oktober 2021, syarikat terbabit menafikan segala dakwaan dan menjelaskan bahawa nama ‘Timah’ yang terdapat pada label botol merujuk kepada bijih timah pada era pelombongan bijih timah semasa pemerintahan British di Malaya suatu masa dahulu. Gambar lelaki itu pula adalah salah seorang individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British iaitu Kapten Speedy.
Kemudian, syarikat itu menegaskan lagi sebarang pentafsiran nama yang tidak ada kaitan dengan pelombongan bijih timah Malaysia adalah palsu. (Sumber: https://www.facebook. com/TIMAHWhiskeyOfficial/. Telah diakses pada 18 Oktober 2021)
Isu ini perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak berwajib dan semua pihak kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam dan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini. Bagi umat Islam pengharaman arak adalah satu prinsip yang jelas dan apa-apa yang ada kaitan dengannya adalah perkara wajib dijauhi.
Dalam Islam, arak dan segala minuman yang memabukkan adalah najis dan hukumnya haram. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Ketahuilah sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah ialah perbuatan yang keji daripada amalan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90)
Dalam ayat di atas, perkataan ‘rijsun’ daripada segi bahasa bermaksud kotor dan najis.
Selain itu, dalam ayat berkenaan juga, penggunaan lafaz ‘al-Ijtinab’ (yakni menjauhi arak) menunjukkan bahawa tegahan dan pengharamannya adalah lebih kuat dan menyeluruh berbanding penggunaan lafaz tahrim ‘al-Syurb’ (yakni tegahan meminum arak) semata-mata kerana tegahan meminumnya sahaja tidak merangkumi tegahan lain yang berkaitan dengannya seperti membeli arak, menjualnya dan lain-lain. Perintah menjauhinya pula merangkumi setiap sudut perkara yang berkaitan dengan arak, termasuk minum dan urusan lain yang berkaitan dengannya.
Tambahan lagi, ia menunjukkan celaan Allah SWT terhadap semua perkara buruk yang dinyatakan dalam ayat di atas dengan menyatakan bahawa ia termasuk dalam amalan syaitan dan merupakan perbuatan yang keji.
Sehubungan itu, kita diperintahkan untuk meninggalkan semua perkara tersebut kerana kejayaan (di dunia dan akhirat) tidak akan dapat dicapai melainkan dengan meninggalkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, khususnya perkara keji yang disebutkan dalam ayat di atas.
Bukan itu sahaja, malah terdapat sebuah hadis yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi, 1295)
Tindakan mengguna pakai nama Timah sebagai jenama arak adalah tidak wajar dan boleh dianggap satu tindakan yang mencabar sensitiviti umat Islam. Hal ini kerana, penggunaan nama berkenaan boleh menimbulkan pelbagai konotasi yang tidak baik, khususnya dalam konteks negara kita, yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam.
Lebih-lebih lagi, nama Timah itu juga sudah sinonim dalam masyarakat Melayu. Malah, tindakan memilih dan menggunakan gambar Kapten Speedy yang memakai penutup kepala juga, dilihat seolah-olah menjadi tanda dan isyarat bahawa produk ini keluaran Melayu Muslim sedangkan arak adalah satu perkara yang sangat ditegah dalam Islam.
Sebarang isu sensitiviti agama dan kaum mestilah dijauhkan kerana ia boleh menjurus berlakunya kemudaratan, sedangkan sebarang kemudaratan mestilah ditegah apatah lagi yang membabitkan perkara yang sensitif. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang menyebut: Kemudaratan itu hendaklah dicegah semampu yang mungkin. (al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah)
Meskipun sebahagian pihak akan mengemukakan pelbagai alasan untuk membenarkan jenama arak ini, namun syarak menegaskan bahawa segala perkara yang mempunyai unsur kemudaratan hendaklah dicegah semampu yang boleh, lebih-lebih lagi umat Islam sebagai penduduk majoriti di negara ini.
Penolakan ini juga berdasarkan kepada kaedah Sadd al-Zarai yakni menutup jalan yang boleh membawa kepada kerosakan ataupun keburukan. Hal ini kerana, kami melihat perkara ini sekiranya dibiarkan dan dibuka seluasnya, dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan bahawa seolah-olah budaya arak merupakan budaya masyarakat Melayu Islam atau budaya yang dekat dan diterima dalam kalangan masyarakat Muslim, seterusnya mengganggu gugat keharmonian masyarakat Islam di Malaysia.
Sehubungan itu, tindakan dan langkah proaktif pihak kerajaan sangat perlu dalam menyelesaikan isu ini, dengan memastikan kemaslahatan rakyat terjaga dan juga kemudaratan ke atas rakyat turut terhindar.
Kaedah fiqh ada menyebut: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahat rakyat.” (al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah)
Dalam hal ini, maslahat atau kebaikan menjaga keharmonian negara dalam kalangan masyarakat daripada timbulnya huru-hara, kekacauan dan seumpamanya dengan melarang penggunaan jenama yang sensitif ini adalah lebih besar berbanding membiarkannya, di samping dapat meminimumkan mafsadah yang mungkin berlaku dalam kalangan masyarakat akibat daripada arak tersebut. Maka, tindakan tegas daripada pihak berwajib amat perlu dalam menangani permasalahan ini.
Penggunaan jenama arak dengan perkataan bahasa Melayu seperti Timah ini amatlah tidak wajar sama sekali. Ia mesti ditarik dan diubah serta-merta, di samping gambar yang digunakan juga hendaklah tidak menyentuh sensitiviti masyarakat Islam yang juga penduduk majoriti, demi keharmonian negara.
Adalah dinasihatkan pihak berkaitan agar lebih sensitif dan peka terhadap isu sebegini yang berpotensi mengancam perpaduan dan keamanan masyarakat berbilang kaum. Memelihara kerukunan masyarakat dan tidak melanggar batas-batas yang boleh mengancam kestabilan hidup dan menggugat keharmonian umat Islam adalah menjadi teras kestabilan negara ini.
Penulis Mufti Wilayah Persekutuan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM