DI penghujung tahun ini, lazimnya orang ramai mengambil kesempatan untuk melancong dan bercuti bersama ahli keluarga dan rakan taulan. Kebenaran rentas negeri, program gelembung pelancongan dan tawaran pelbagai pakej percutian menambahkan lagi keterujaan masing-masing. Gambar-gambar percutian di lokasi menarik dengan pelbagai gelagat dan aksi dikongsikan di pelbagai platform media sosial. Kesempatan dan peluang tersebut adalah sebahagian nikmat yang perlu dihargai dan disyukuri. Islam menganjurkan agar nikmat kegembiraan dikongsikan dengan kesyukuran dan memuji kebesaran Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Dhuha ayat 11 yang bermaksud: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya.”
Melancong dan bermusafir adalah sebahagian daripada aktiviti yang dapat menenangkan fizikal dan minda. Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyarankan agar manusia berjalan dan bermusafir bagi melihat, mengambil pengajaran dan menghayati kebesaran Allah SWT untuk meningkatkan ketakwaan dan menambahkan keimanan. Hikmah bermusafir adalah bagi menikmati pemandangan alam ciptaan Tuhan yang mendamaikan, menambah ilmu pengetahuan serta mempelajari tentang budaya dan tradisi sesuatu tempat.
Al-Quran menyarankan agar mengambil iktibar dari makhluk ciptaan Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 164 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang dan kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuhan di bumi sesudah mati, serta ia biakkan padanya daripada pelbagai jenis binatang; demikian juga peredaran angin dan awan yang tunduk terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (semua itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah) bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.”
Ajaran Islam memberikan petunjuk dan panduan kepada golongan yang bermusafir seperti amalan berdoa dan berzikir, menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum memulakan perjalanan serta membawa bekalan dan kelengkapan yang secukupnya. Di dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA berkata maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya.
Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.” (Riwayat Muslim)
Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ketika bermusafir dan percutian adalah menjaga keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa terutama dalam situasi wabak Covid-19 yang belum reda. Elakkan mengunjungi tempat yang berbahaya dan memudaratkan keselamatan diri. Jangan kerana keterujaan dan keghairahan untuk bergembira, kemalangan dan musibah pula yang menimpa seperti tragedi lemas dan dijangkiti wabak penyakit yang mengancam nyawa. Islam menegah kita dari mendedahkan diri dalam kebinasaan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195 bermaksud: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Kita juga bertanggungjawab memelihara kebersihan alam sekitar. Jauhi tabiat membuang sampah, sisa makanan dan mencemarkan keindahan tempat yang dikunjungi. Kajian berkaitan indeks pencemaran alam sekitar mendedahkan kualiti udara dan air sungai yang bersih dari pencemaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Justeru keadaan tersebut tidak seharusnya dicemarkan dengan kecuaian dan kelalaian kita. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Semasa bermusafir dan melancong kita diingatkan agar tidak berkelakuan buruk serta melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jauhi perbuatan maksiat, hiburan keterlaluan, mengabaikan batasan aurat serta pergaulan lelaki dan wanita tanpa batasan. Konsep berhibur di dalam Islam bertujuan membangunkan dan mendamaikan jiwa, menenangkan fikiran dan merehatkan rohani serta jasmani bukan dengan tujuan yang sia-sia. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Mu’minun ayat 115 yang bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Ketika melancong, aktiviti membeli-belah juga dilakukan dengan niat untuk membantu penjual bagi merancakkan kembali kegiatan ekonomi dan perniagaan. Namun elakkanlah pembaziran dan berbelanjalah mengikut kemampuan. Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 26 bermaksud: “Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”
Bagi golongan peniaga, jauhilah sebarang unsur penipuan dan perbuatan mengambil kesempatan dalam urusan jual beli sebagaimana peringatan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda: “Apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu menjawab: “Makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW.” Seraya Rasulullah bersabda: “Kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu disebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).” (Riwayat Muslim)
Dalam keghairahan kita bercuti di pelbagai destinasi menarik, jangan lupa untuk terlebih dahulu mengunjungi dan bertanya khabar ibu bapa dan ahli keluarga. Ganjaran pahala dijanjikan kerana menggembirakan hati mereka. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Riwayat Muslim)
Selain itu, utamakanlah aktiviti mengunjungi dan mengimarahkan masjid dan surau kerana ia tempat terbaik untuk dikunjungi. Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi yang mengimarahkan masjid sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 18 bermaksud: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” -My Metro
Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM