Jaga akhlak musim pilihan raya

Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kian terasa. Bukan sahaja rakyat negeri Melaka sahaja yang terbabit dalam proses memilih pemimpin negeri mereka, malah orang lain di luar Melaka turut terbabit sama secara tidak langsung. Sembang pilihan raya mewarnai dunia maya menerusi media sosial, begitu juga di alam nyata. Semuanya disibukkan dengan topik pemimpin dan kepimpinan. 

Ramai orang yang ingin turut serta dalam menentukan tampuk pemerintahan negeri Melaka untuk beberapa tahun akan datang. Tidak kurang yang asyik mencari maklumat daripada media khususnya internet bagi mendapatkan informasi mengenai pihak yang terbabit dalam pilihan raya kali ini. Hakikatnya situasi ini timbul daripada perbuatan pemimpin sendiri yang mempunyai percaturan masing-masing. Pemimpin perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang bakal berlaku selepas ini. 

Suasana pilihan raya adalah suasana pertandingan. Masing-masing cuba menawan hati pengundi dengan cara yang tersendiri. Pelbagai cara dan pendekatan yang digunakan untuk menyerlahkan kemampuan individu dan parti yang terbabit untuk mentadbir bumi yang tercinta ini. Selagi cara terbabit tidak melibatkan perkara yang haram, maka ia termasuk dalam hal diharuskan. 

Dalam suasana sebegini, amat wajar diingatkan mengenai beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh setiap orang yang terbabit dalam proses pilihan raya. Lebih-lebih lagi sebagai pengundi Muslim, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengikut suasana dan keadaan sekeliling. Sekiranya berlaku situasi yang bertentangan dengan ketetapan Islam, maka kita wajib memperbetulkan situasi terbabit. Sekiranya kita tidak mampu untuk membetulkannya, maka wajib untuk kita menyelamatkan diri daripada terjerumus dalam kemurkaan Allah SWT. 

Perkara utama yang perlu dielakkan dalam suasana pilihan raya ini ialah fitnah. Perkara ini perlu dijauhkan sama ada oleh pihak yang terbabit secara langsung dalam pilihan raya, mahupun pihak pengundi. Perbuatan melemparkan tuduhan tidak berasas kepada pihak tertentu adalah tidak dibenarkan dalam Islam. 

Ingat Allah SWT sudah memberi amaran kepada hamba-Nya supaya tidak sesekali menyebarkan tuduhan tidak benar kepada sesama manusia. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah an-Nur, ayat 19)

Tatkala menyaksikan suasana pilihan raya di Malaysia, rata-rata pertandingan berlaku membabitkan sesama Muslim daripada parti yang berbeza. Dalam hal ini, penyokong setiap parti perlu sedar bahawa walaupun mereka berbeza pendapat dan pegangan, mereka tetap bersaudara. Ikatan persaudaraan yang didasari oleh akidah Islamiah tidak boleh digadaikan semata-mata kerana ingin memenangi pilihan raya. Jangan ada dalam kalangan kita yang bergaduh, berbalah dan bermasam muka hanya kerana mereka tidak sependapat antara satu sama lain. 

Allah SWT menyatakan secara jelas umat Islam adalah umat yang satu atas ikatan iman terhadap Allah SWT Yang Maha Esa. Setiap umat Islam berpegang kepada pegangan yang sama dan menuju kepada tujuan yang sama iaitu mengharapkan keredaan Allah SWT. Perbezaan pendapat terutama dalam bab politik tidak boleh dijadikan sebab untuk umat Islam berpecah. 

Perpecahan dalam kalangan umat Islam pastinya menampakkan kelemahan Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisihan); kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)

Selain itu, setiap Muslim perlu merenungi firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Umat Islam perlu bijak dalam menerima informasi. Pastikan setiap informasi yang diterima sememangnya sahih sebelum mempercayainya. Sesuatu perkara yang diterima, tidak boleh dipegang dan disebarkan tanpa diselidiki terlebih dahulu. Islam menganjurkan supaya setiap perkara diteliti, lebih-lebih lagi apabila maklumat terbabit diperoleh daripada sumber yang tidak diketahui. Perkara yang amat dikhuatiri apabila sesuatu maklumat datang daripada golongan fasik yang mempunyai niat jahat untuk memecahbelahkan umat. 

Penggunaan internet sebagai medium menyebarkan berita perlu dilakukan dengan cara berhemah. Terdapat sesetengah daripada pengguna internet memanfaatkan medium maya ini secara tidak beretika dengan menghamburkan kata-kata kesat, lucah dan mendedahkan berita atau gambar yang membuka keaiban individu tertentu yang bersifat peribadi. 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu akan merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir (pasti) merosakkan mereka itu” – (Hadis riwayat Abu Dawud). Bertakwa kepada Allah SWT dalam setiap percakapan dan perbuatan. Kita mempunyai timbangan wahyu dan akal, tinggalkan sesuatu perkara yang tidak membawa faedah kepada kita atau perkara yang memudaratkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara ciri keindahan Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tidak perlu baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Selain itu, perlu sentiasa diingati bahawa setiap percakapan dan perbuatan kita akan dinilai oleh Allah SWT. Tiada satu pun kejahatan yang akan terlepas daripada balasan buruk meskipun ia hanya sebesar zarah. Pilihan raya adalah medan untuk menentukan pemimpin yang berwibawa. Ia merupakan satu perkara baik, justeru jangan proses ini dicemari dengan perkara yang tidak baik dan merugikan umat Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf, ayat 18)

Akhirnya, ingat selain mendepani ujian memilih pemimpin, kita masih perlu berdepan dengan cabaran wabak Covid-19. Dalam apa juga keadaan, pastikan setiap tingkah laku mengikut garis panduan SOP yang ditetapkan. Jangan ambil mudah hal ini kerana perkara yang buruk sudah pun berlaku berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab sesetengah orang dalam pilihan raya sebuah negeri sebelum ini.

Allah SWT mengingatkan hamba-Nya menerusi firman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum, ayat 41)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts