Assalamualaikum w.b.t
Saya bekerja di sebuah cafe yang dimiliki oleh bukan Muslim dan saya merupakan wakil tunggal pekerja Muslim dan melayu di cafe tersebut. Untuk pengetahuan, barang basah seperti ayam, daging dan udang, semuanya dibeli daripada orang melayu dan sememangnya tidak diragui dari sudut kebersihannya. Cafe kami juga mempunyai sijil halal daripada pengusaha yang menyembelih ayam dan yang menjual barang-barang basah yang lain. Cumanya, cafe ini tidak mempunyai sijil halal daripada JAKIM kerana ia begitu sukar untuk diperolehi. Isunya sekarang adalah chef yang memasak makanan tersebut bukanlah seorang Muslim, tetapi saya lihat tiada masalah dalam hal ini kerana chef yang bekerja mematuhi SOP dan juga kebersihan. Jadi soalan saya, bolehkah saya terus bekerja di cafe tersebut kerana kadang-kadang saya rasa bersalah dan tidak mahu menanggung dosa jika apa yang saya lakukan ini salah.
Ringkasan Jawapan
Berdasarkan kepada pertanyaan di atas, hukum bekerja di cafe milik bukan Islam adalah harus dan hasil pendapatan daripadanya adalah halal selagimana tidak ada melibatkan sebarang unsur haram atau tidak halal khususnya dalam penyediaan makanan mahupun aktiviti perniagaannya.
Huraian Jawapan
Islam menuntut penganutnya agar sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
(Surah al-Baqarah: 168)
Syeikh al-Sa‘di mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan. Manakala ‘tayyiban’ pula adalah bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80)
Dalam aspek muamalat, prinsipnya asasnya adalah keharusan untuk bermuamalah selagimana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.
Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut). (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)
Pekerjaan adalah termasuk dalam ruang lingkup muamalat. Oleh itu, hukum asal bagi sesuatu pekerjaan adalah harus selagimana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Keharusan itu pula skopnya amat luas, sedangkan keharamannya hanya terhad kepada perkara yang sememangnya ditegah oleh Islam. Dalam erti kata lain, sekiranya suatu pekerjaan itu aktiviti pekerjaannya melibatkan perkara-perkara haram, maka hukumnya adalah haram seperti syarikat arak, kedai judi, kedai makan bukan Islam yang menyediakan masakan yang berasaskan arak, khinzir atau seumpamanya. Begitulah juga, sekiranya aktiviti dan tugasan sesuatu syarikat itu harus, maka hukumnya adalah harus seperti syarikat yang menjalankan perniagaan telekomunikasi, jualan buah-buahan, perniagaan yang tidak melibatkan system riba dan gharar (ketidakpastian), dan lain-lain.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada pertanyaan di atas, hukum bekerja di cafe milik bukan Islam adalah harus dan hasil pendapatan daripadanya adalah halal selagimana semua aktiviti perniagaannya adalah harus dan tidak ada melibatkan sebarang unsur haram atau tidak halal khususnya dalam penyediaan makanan. Bahkan sudah jelas seperti yang dinyatakan bahawa semua bahan masakan yang digunakan adalah daripada bahan-bahan yang halal lagi bersih dan mendapat perakuan sijil halal.
Sekalipun begitu, sekiranya masih lagi ragu-ragu, maka meninggalkan perkara yang ragu-ragu itu adalah lebih baik sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.” Riwayat al-Tirmizi – Muftiwp
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM