Jasad ibu masih sempurna walaupun dikebumikan sejak 2006

Segamat: “Walaupun terlalu rindukan arwah ibu yang sudah puluhan tahun pergi selamanya, saya tidak kuat ketika diberikan peluang menatap semula jasadnya masih utuh ketika ditemui,” kata Hamisah Kasim, 76.

Hamisah menceritakan semula pengalaman menggemparkan apabila lebih 100 kubur lama di Kampung Batu Badak, di sini, digali semula untuk dipindahkan ke kubur lain pada November 2013.

Pemindahan kubur dilakukan bagi memberi laluan pembinaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak dan selepas menggali beberapa kubur, ramai pihak terkejut melihat 12 jenazah serta kain kafan masih sempurna malah berbau harum walaupun dikebumikan lapan tahun hingga puluhan tahun lalu.

Sehingga kini ramai pihak masih tertanya-tanya dan berminat mengetahui mengenai jenazah yang tidak terjejas itu.

Hamisah berkata, apa yang berlaku mempunyai rahmat tersirat serta muhasabah sesama insan.

“Baru kini saya tampil membuat pendedahan salah satu jasad dan kain kafan bersih tidak terjejas itu adalah jenazah arwah ibu, Maheran Jaafar. Kami sekeluarga seolah diberikan peluang kedua melihatnya.

“Arwah meninggal dunia di usia 80-an pada 15 Mac 2006 akibat komplikasi penyakit serta jasad pertama yang ditemukan tidak terjejas ketika proses penggalian semula.

“Tidak berniat riak namun ketika hayatnya, arwah mengamalkan selawat, zikir, berpuasa sunat tiap Isnin dan Khamis selain khatam al-Quran tiap Ramadan,” katanya ditemui di Kampung Batu Badak

Menurutnya, arwah ibunya menjaga mereka lima beradik dengan teliti selepas bapa, Kasim Abd Rahman meninggal dunia ketika dia di usia belasan tahun.

Hamisah berkata, arwah ibunya bertungkus-lumus siang malam menjual kuih muih selain mengambil upah menjahit bagi memastikan anak-anaknya tidak kelaparan serta perbelanjaan persekolahan mencukupi.

Namun, apa yang menyentuh hatinya, arwah tidak lokek bersedekah kuih-muih jika bertemu peminta sedekah walaupun menyedari akan menyebabkan kerugian.

“Selagi kami belum pulang sekolah, arwah tidak akan menjamah nasi dan hanya makan bersama sebaik kami semua sampai ke rumah,” katanya.

Menurutnya, rutin pesanan wajibnya setiap hari antaranya tidak pernah kelaparan jika bersedekah walau pun kepada haiwan jalanan, biarlah rezeki sedikit asalkan berkat serta jangan gusar ianya mencukupi.

Katanya, selain itu, dia turut berpesan selagi hayat dikandung badan lakukanlah rutin selawat dan berzikir santapan ketenangan rohani tanpa mengira waktu dan keadaan.

“Setiap kali Ramadan, arwah akan masak ikan air tawar serta kuih-muih antaranya epok-epok (karipap) untuk juadah berbuka dan bersahur sehingga kini terkenang sedih teringatkannya.

“Tiap kali hampir Syawal pula, dia amat sibuk menjahit pakaian raya dan mengajar menganyam ketupat serta masak rendang ayam atau daging tetapi kini semua itu tinggal kenangan,” katanya.

Kesemua jenazah itu dikebumikan semula di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Raudatul Mukminin di Kampung Alai, Gemerih di sini, yang jaraknya dua kilometer dari lokasi asal. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts