Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Matinya manusia maka terputuslah hubungan antara jasad dan roh dan merupakan detik permulaan manusia menuju ke negeri akhirat yang merupakan garis permulaan bagi satu perjalanan yang sangat panjang.
Alam barzakh merupakan alam yang berbeza dengan kehidupan di alam dunia yang serba indah. Kematian dan masuknya manusia ke alam barzakh adalah ketentuan Allah SWT yang pasti akan terjadi.
Manusia tidak boleh lari dari kematian. Masa, tempat, keadaan kematian telah ditentukan dan hanya menunggu sahaja tanpa diketahui.
Allah SWT berfirman, maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali-Imran ayat 185)
Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah SAW memegang bahuku lalu berkata: ‘Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau perantau.
‘Kemudian Ibnu Umar berkata: Sekiranya kamu berada pada waktu petang, kamu jangan mengharap hidup sampai pagi hari. Sekiranya kamu berada pada waktu pagi, kamu jangan menantikan waktu petang. Gunakan waktu sihatmu sebagai bekalan pada masa sakitmu dan masa hidupmu untuk kematianmu.'” (Hadis riwayat Bukhari)
Ulama seperti Dr Sulaiman al-Ashqar dan Ibnu Kathir menjelaskan bahawa kematian itu adalah kiamat kecil bagi manusia. Apabila meninggalnya seseoang manusia itu, maka kiamat telah tiba buat dirinya yang sepi dari kekalutan dunia di alam barzakh.
Aisyah meriwayatkan: Beberapa individu Arab Badwi datang kepada Nabi Muhammad bagi bertanya perihal Hari Kiamat. Kemudian Baginda melihat individu terkecil di antara mereka dan berkata: “Sekiranya dia ini panjang umur, dia tidak sampai hari tuanya sehingga kiamat terjadi kepada kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis itu, Ibnu Kathir menjelaskan bahawa apabila berakhirnya umur seseorang itu, tiba saatnya mereka masuk ke alam akhirat yang nyata berbeza dengan kehidupan dunia.
Kiamat kecil juga disebut sebagai kebangkitan pertama iaitu tempat kembali yang pertama (alam barzakh). Kebangkitan pertama itu adalah perpisahan roh dengan jasad serta kembali ke tempat pembalasan pertama. Kiamat besar pula adalah binasanya seluruh alam ini serta makhluk di dalamnya.
Apabila Sayyidina Uthman berdiri di perkuburan, beliau menangis sehingga basah janggutnya. Lalu ada yang bertanya kepadanya: “Kenapa ketika disebut syurga kamu tidak menangis kerinduan, ketika disebut neraka kamu tidak menangis ketakutan, tetapi kamu menangis pula kerana takutkan kubur”. Beliau menjawab: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya kubur itu ialah fasa pertama dari fasa-fasa akhirat. Sekiranya seseorang selamat dari (keburukan) di kubur, maka keadaan selepasnya akan lebih mudah. Sekiranya dia tidak selamat, maka keadaan selepasnya lebih dahsyat.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Allah sudah menentukan ajal sejak azali lagi. Apabila sampai ajalnya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walaupun sesaat. Malaikat Izrail yang ditugaskan untuk mencabut nyawa akan menjalankan tugasnya tanpa mengira masa, tempat dan keadaan seseorang tersebut.
Apabila nyawa berada di kerongkong, maka segala pintu taubat telah tertutup dan segala penyesalan tidak lagi berguna. Imam al-Ghazali berkata: “Kematian itu datang tanpa meminta izin, tanpa mengetuk pintu sebelum memasukinya. Ia datang secara tiba-tiba dan amat mengejutkan.”
Allah SWT berfirman, maksudnya: “Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah ‘sakaratulmaut’ membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!” (Surah Qaff ayat 19)
Maka bagi mengahadapi kiamat kecil ini manusia perlu untuk sentiasa perbanyakkan mengingati mati. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Perbanyakkanlah mengingati kematian. Seseorang hamba yang banyak mengingatinya, maka Allah akan menghidupkan hatinya dan akan menghilangkan baginya rasa sakit kematian itu.” (Hadis Riwayat ad-Dailami)
Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Orang yang paling beruntung adalah yang dapat mengawal hawa nafsunya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian. Sedangkan orang yang rugi adalah yang sentiasa mengikut hawa nafsunya dan banyak berangan-angan terhadap Allah SWT.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Abu Ubaid berkata: “Maksudnya adalah mengawal diri sehingga mahu beribadah kepada Allah SWT serta melakukan amal soleh sebagai bekalan setelah mati dan ketika mengadap Allah SWT, tidak mensia-siakan usia yang diberi Allah serta mengingati dan sentiasa patuh kepada Allah dalam pelbagai situasi dan keadaan. Semua perkara itu merupakan bekalan di akhirat.
Orang yang rugi adalah yang sedikit melakukan amal perbuatan, amat kurang ketaatannya kepada Allah, sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-agan agar Allah mengampuni dosanya. Orang seperti ini termasuk golongan yang lalai, padahal Allah SWT telah memperingatkan mereka agar melakukan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Al-Hasan al-Basri berkata: “Orang yang menjadikan angan-angan sebagai Tuhannya tidak akan membawa kebaikan ketika meninggal dunia. Jika salah seorang daripada mereka berkata: “Aku sudah berbaik sangka terhadap Allah SWT,” maka itu adalah dusta. Jika memang dia sudah berbaik sangka terhadap Allah SWT tentu dia sentiasa melakukan amal soleh.”
Allah SWT berfirman: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk ayat 2)
Justeru itu, kiamat kecil bagi manusia akan sentiasa mengejar kita. Tidak kira sebesar mana pangkat di dunia, sebanyak mana harta yang ada, mati itu pasti. Yang nyata dibawa hanyalah lapisan demi lapisan kain kapan dan kapas yang menutupi rongga. Namun, jangan dilupa amal soleh, bekalan tidak ternilai dari dunia ke akhirat kekal abadi.
Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) – Harian Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM