- Dalam urusan berumah tangga, para suami janganlah menzalimi isteri. Laksanakanlah tanggungjawab ini dengan penuh cermat. Jangan cemari ibadah perkahwinan dengan pengkhianatan dengan melakukan perkara yang ditegah oleh Allah.
- Rasulullah pernah mengingatkan kita agar bertakwa dan takut kepada Allah dalam urusan yang melibatkan para isteri. Sabda Rasulullah:
إتَّقُوا اللَّهَ في النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ
“Bertakwalah kamu kepada Allah dalam urusan isteri-isteri kamu. ٍSesungguhnya kamu mengambil mereka dengan keamanan dari Allah dan kamu menghalalkan faraj mereka dengan kalimah Allah.” (HR Muslim)
- Ketika menghuraikan maksud hadis ini, al-Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “kamu menghalalkan faraj mereka dengan kalimah Allah” adalah kerana Allah telah memerintahkan kaum muslimin agar berkahwin. Perintah syariat ini atau kalimah Allah ini direkodkan dalam al-Quran yang menyebutkan:
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً
“maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja..” (Surah al-Nisa: 3)
- Hayati hadis ini betul-betul. Rasulullah seakan-akan mengingatkan para suami bahawa pernikahan itu adalah disaksikan oleh Allah sehingga itu mereka diperintahkan agar sentiasa cermat dalam urusan kekeluargaan.
- Malah akad para suami itu adalah seumpama proses perpindahan tanggungjawab seorang ayah dalam menjaga seorang wanita. Seorang ayah sudah pasti tidak mahu menyakiti hati anak perempuannya, apatah lagi menzalimi mereka. Adakah kita suka anak perempuan kita dizalimi?
Semoga Allah membimbing kita.
Peringatan untuk diri sendiri.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam: