Pembinaan Masjid Bukit Beruntung manfaat buat 60,000 penduduk

Hulu Selangor: Pembinaan Masjid Bukit Beruntung bakal memanfaatkan kira-kira 60,000 penduduk sekitar yang selama ini terpaksa ‘menumpang’ di Masjid Bukit Sentosa untuk solat Jumaat.

Pembinaan masjid yang bakal memuatkan kira-kira 3,500 jemaah itu akan dibina di tanah seluas dua ekar yang disediakan pihak pemaju di Bandar Bukit Beruntung.

Pengerusi Jawatankuasa Penaja Pembinaan masjid berkenaan, Abdullah Muhamad berkata, masjid itu amat diperlukan penduduk setempat memandangkan kawasan itu tidak mempunyai masjid.

“Di Bukit Beruntung hanya ada 11 surau apabila enam daripadanya adalah surau dengan kebenaran solat Jumaat. Jika masjid ini dapat dibina, ia akan menjadi masjid pertama di Bukit Beruntung.

“Bagaimanapun, dengan kependudukan yang ramai, surau Jumaat yang disediakan ‘melimpah’ hingga pekarangan surau dan menyebabkan ada antara penduduk terpaksa solat Jumaat di masjid Bukit Sentosa,” katanya.

Abdullah berkata, usaha pembangunan masjid Bukit Beruntung bermula dari cetusan idea beberapa ahli jemaah Surau Al Muhajirin pada 2013 sebelum jawatankuasa pembinaan masjid ditubuhkan.

“Proses seterusnya yang perlu dilakukan ialah mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan mendapat kelulusan pada 2013.

“Jawatankuasa kemudian melakukan proses mewartakan tapak masjid di tanah seluas dua ekar dan pewartaan tanah tapak masjid selesai dibuat pada tahun 2015,” katanya.

Menurutnya, kini pihaknya mengumpulkan dana yang dianggarkan sekitar RM16 juta bagi memulakan pembinaan pada tahun depan.

“Kos semasa mungkin menjangkau jumlah yang lebih besar dari itu. Sekali pandang anggaran kos nampak besar berbanding pembinaan masjid lain.

“Namun, beberapa perkara menjadi asas dalam pertimbangan kos antaranya masjid yang dicadangkan bercirikan pembinaan moden sebagai tempat beribadah dan sebagai pusat agama untuk penduduk Bukit Beruntung yang dianggarkan seramai 60,000.

“Ruang solat yang lebih besar diperlukan bagi menampung jemaah yang begitu ramai selain dilengkapi pelbagai kemudahan,” katanya.

Menurutnya, pembinaan masjid di kawasan itu sangat penting dan boleh dijadikan sebagai pusat bantuan jika berlaku banjir dan bencana alam yang lain.

“Masjid ini adalah kompleks yang serba lengkap dengan sebuah dewan serbaguna dan empat rumah imam dan kakitangan masjid.

“Masjid juga akan dilengkapi sistem solar bagi menjana tenaga untuk kegunaan dalaman selain dilengkapi rain harvester untuk penggunaan air hujan bagi tujuan wuduk serta minuman,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pembinaan masjid berkenaan diperlukan ahli kariah dan tepat pada masanya apabila melihat perkembangan pembangunan dan pertambahan penduduk di sini.

“Banyak kesenangan dan manfaat sekiranya Bukit Beruntung ada masjid sendiri berbanding terpaksa ke masjid lain, tambahan pula semakin ramai warga emas di sini jadi jika ada masjid dekat itu lebih baik.

“Jadi, kami berharap masjid berkeluasan dua ekar dengan konsep seni bina moden dapat dibina secepat mungkin. Jangkaan kami siap sepenuhnya 2024, tetapi jika awal adalah lebih baik,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan orang ramai dapat membantu pembinaan masjid berkenaan dengan memberikan sumbangan berbentuk kewangan.

“Jumlah keseluruhan kos pembinaan masjid berkenaan adalah RM16 juta di mana setakat ini, kira-kira RM3 juta kutipan sudah diperoleh.

“Mari kita sama-sama menyumbang untuk pembinaan masjid ini. Semoga dengan usaha ini, Allah akan menyediakan sebuah mahligai kepada penderma di syurga nanti, insya-Allah,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts