Georgetown: “Saya harap isu ini (penuntut Muslim membersihkan kuil) tidak dipolemikkan mana-mana pihak dan tidak diperbesar-besarkan sehingga menambahkan kekeliruan orang ramai.”
Begitu kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengenai video tular beberapa penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Gombak yang turut serta membersih kuil Hindu di Taman Kelang Utama, Klang, Selangor, baru-baru ini.
Wan Salim berkata, tindakan itu menjadi manifestasi yang indah dan menarik bagi merealisasikan semangat keluarga Malaysia yang penduduknya saling menghormati serta bertoleransi antara satu sama lain walaupun berbeza etnik, agama atau budaya.
Namun katanya, tentu ada juga dalam kalangan rakyat negara ini yang berasa resah atau bimbang jika tindakan itu boleh menjejaskan akidah mereka yang terbabit ketika membersihkan tempat ibadat bukan Islam.
“Isu ini memang sensitif bagi masyarakat Islam yang komited kepada ajaran agama memandangkan sifat agama Islam itu sendiri yang tegak di atas tauhid yakni kepercayaan kepada keesaan Tuhan dan melarang keras penyekutuan tuhan (syirik) dengan apa jua makhluk-Nya.
“Di dalam al-Quran juga ada ayat yang menyatakan bahawa syirik sama ada daripada di dalam kepercayaan atau ibadat, adalah dosa paling besar yang tidak akan diampun oleh Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, bagi menghapuskan kebimbangan sedemikian supaya tidak berlarutan sehingga menimbulkan ketegangan dalam hubungan antara sesama warga Malaysia, penjelasan perlu dilakukan oleh pihak berwajib.
Katanya, perlu diperjelaskan bahawa tindakan penuntut terbabit hanya amalan kebajikan atau sosial serta tiada kaitan sama sekali dengan kepercayaan atau upacara agama Hindu, yang seseorang Muslim dilarang menyertainya.
“Sehubungan itu saya merayu kepada ilmuwan dan cerdik pandai supaya sentiasa berfikir dengan rasional mengenai sebarang tindakan yang hendak dilakukan.
“Ia adalah demi mengelakkan ia disalah faham atau diambil kesempatan oleh pihak berkepentingan bagi memecah belah perpaduan rakyat,” katanya lagi.
Terdahulu, menerusi video tular berdurasi 0.29 saat itu memaparkan sekumpulan penuntut Islam membantu membersihkan sekitar kawasan kuil yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. – My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM