RAMALLAH, Khamis – Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah mendedahkan rancangan rejim Zionis Israel untuk membahagikan Tebing Barat kepada dua dalam usaha untuk mewujudkan beberapa penempatan baharu Yahudi.
“Israel bertindak medirikan kediaman di penempatan baharu dan pembinaan jalan pintas berhampiran Bethlehem dalah satu usaha untuk membahagikan Tebing Barat kepada dua serta merampas Area C.
“Rejim Tel Aviv melakukan apa yang termampu untuk menghancurkan kesan sejarah di Bethlehem,” katanya mengulas tindakan terbaharu rejim itu.
Rejim Israel kini sedang bertindak mencuri tanah Palestin bersebelahan dengan penempatan haram di Efrat dalam usaha membina jalan antara Efrat dan penempatan baharu Givat Eitam.
Berdasarkan pelan tindakan Kementerian Pembinaan dan Perumahan Israel, penempatan baharu itu didirikan di timur dan membabitkan kira-kira 2,500 unit rumah.
“Pembinaan penempatan dan jalan itu secara praktikalnya memutuskan Bethlehem dan selatan Tebing Barat,” kata Pengarah Komunikasi Strategik dan Media Pejabat Perdana Menteri Palestin, Jamal Dajani.
Katanya, masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk menghalang tindakan haram Israel itu, selain mencuri tanah Palestin.
Penempatan haram Israel meliputi 42 peratus tanah di Tebing Barat, termasuk tanah simpanan, pertanian, perindustrian, jalan dan kemudahan lain.
Pada 2009 lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu komited untuk tidak mendirikan bangunan atau penempatan baharu selepas menerima kritikan daripada komuniti antarabangsa.
Bagaimanapun, komitmen itu tidak menghalang kerajaanya untuk terus mencuri tanah Palestin dan meluluskan pembinaan penempatan baharu.
Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/08/zionis-rancang-pecahkan-tebing-barat-kepada-dua/
www.indahnyaislam.my