Tahun 2021 baru sahaja melabuhkan tirainya. Kini tiba pula tahun baharu 2022 dengan pelbagai cabaran dan ujian yang mendatang. Sebagai seorang Muslim, perubahan waktu, hari, bulan dan tahun serta peredaran malam dan siang bersilih ganti adalah sunatullah yang telah ditetapkan sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 190 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”
Justeru orang yang bijak akan sentiasa menggunakan peluang yang ada untuk melaksanakan kebaikan dan tidak membiarkan masa berlalu dengan melakukan perkara yang tidak bermanfaat dan sia-sia.
Pelbagai peristiwa suka, duka, pahit dan manis yang dilalui dalam kehidupan adalah ujian yang mematangkan fikiran untuk maju ke hadapan. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Insyirah ayat 5-6 bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
Di sebalik pelbagai peristiwa musibah dan ujian yang melanda negara sepanjang tahun lalu, terselit beberapa kisah yang memberikan inspirasi dan membangkitkan semangat ketika berhadapan dengan ujian kehidupan seperti kisah selebriti Ebby Yus yang reda dengan kemusnahan rumah akibat banjir dan ketabahan Shuib Sepahtu yang menerima dengan pasrah pemergian isterinya ke rahmatullah akibat Covid-19. Begitu juga kisah kecekalan hati seorang wanita tua yang menyaksikan sendiri rumah pusakanya berusia 52 tahun lenyap dilanda banjir besar.
Orang yang beriman digesa untuk bangkit daripada kesedihan dan perasaan dukacita dengan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran dan pendorong semangat. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 153 bermaksud: “(Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu daripada kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.”
Ayat itu menceritakan kisah kesalahan dalam peperangan Uhud dan Allah SWT memberitahu bahawa Dia telah memaafkan mereka supaya tidak berterusan dalam kesedihan lantaran kekalahan dan musibah yang menimpa. Oleh itu, perasaan kesedihan tidak harus dibiarkan sehingga mendatangkan kemurungan dan kemudaratan.
Manusia yang beruntung adalah yang bermuhasabah setiap masa untuk memperbaiki diri dan mengambil iktibar peristiwa yang berlaku. Perubahan tahun baharu hakikatnya melatih kita untuk selalu mengingatkan diri agar bersyukur di atas segala nikmat Allah SWT.
Sifat syukur bakal mengundang balasan kebaikan daripada Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
Di dalam surah al-Hadid ayat 16 Allah SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.”
Seorang Muslim tidak perlu menunggu kedatangan tahun baharu untuk melakukan kebajikan, atau menunggu waktu senang untuk beribadah, atau menunggu menjadi kaya untuk bersedekah. Sebaliknya bersegeralah untuk melaksanakan sebarang bentuk kebaikan yang boleh memberikan manfaat kepada diri dan orang lain. Ajaran Islam memerintahkan bersegera melakukan kebaikan kerana ia mendatangkan ketenangan dan ketenteraman hati.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 133 bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” Dalam surah al-Baqarah ayat 148 Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Allah SWT memberikan panduan agar segera melaksanakan kebajikan yang lain setelah selesai melaksanakan suatu tugasan sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Insyirah ayat 7 yang bermaksud: “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).” Laksanakanlah setiap tugasan yang diberikan dengan sebaik-baiknya seperti hadis yang bermaksud “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik.” (Sunan al-Baihaqi)
Marilah kita berazam menjadi Muslim yang lebih baik sama ada sebagai pemimpin, ibu bapa, suami isteri, anak-anak, pekerja atau majikan dalam sebuah keluarga, masyarakat dan negara. Perbaharui dan perbetulkan niat agar sentiasa istiqamah melakukan amal soleh supaya dapat menjalani kehidupan yang bermanfaat sebagaimana hadis yang bermaksud: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Rasulullah lalu menjawab: Lelaki yang dipanjangkan umur dan (semakin) baik amal (soleh)nya. Lalu lelaki itu bertanya lagi: Siapa pula manusia yang teruk? Rasulullah menjawab: Lelaki yang dipanjangkan usianya, (tetapi semakin) buruk amalan mereka.” (Sunan al-Tirmizi)
Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) – My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam: