Fahami isu penangguhan umrah dari sudut hukum fiqah – Mufti Pulau Pinang

Georgetown: Keputusan kerajaan menangguhkan perjalanan bagi mengerjakan umrah bermula 8 Januari ini perlu difahami dari sudut hukum fiqah, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini perlu mendapat penjelasan mengenai isu itu dari sudut hukum fiqah supaya tidak berlaku salah faham susulan keputusan kerajaan berkenaan.

Katanya, keputusan kerajaan menangguhkan ibadat itu juga dianggap wajar terutama bagi melindungi jemaah umrah daripada jangkitan pandemik Covid-19 terutama varian Omicron.

“Sebenarnya tiada pihak yang ingin menghalang sesiapa pun pergi ke Tanah Suci Makkah dan melaksanakan ibadat berkenaan.

“Tambahan pula, dalam keadaan sekarang, ramai rakyat Malaysia mengalami kesukaran hidup pascbanjir baru-baru ini, maka keutamaan wajar diberi kepada usaha membantu mereka yang terjejas teruk akibat bencana itu,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, sudah maklum bahawa ulama bersepakat tentang kelebihan ibadat umrah, walaupun berbeza pandangan mengenai hukumnya antara wajib atau sunat yang digalakkan (mustahabbah).

Namun dari sudut lain, Wan Salim berkata, umat Islam juga digalakkan, malah boleh menjadi wajib bagi membantu saudaranya yang susah, terutama dalam menghadapi situasi pascabanjir.

“Sebenarnya tiada percanggahan antara dua kewajipan ini, kedua-duanya penting dan masing-masing ada kelebihannya.

“Cuma dilihat dari segi keutamaan atau ‘aulawiyyat’ dalam situasi terkini di Malaysia, maka usaha membantu mangsa bencana banjir amat wajar didahulukan daripada menunai ibadat umrah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah pernah menunaikan ibadah ini kerana ia hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup.

“Perlu difahamkan juga bahawa amalan atau kebajikan yang manfaatnya melampaui pelakunya kepada orang lain adalah lebih berpahala dan lebih disukai Allah SWT daripada amalan yang manfaatnya hanya terhad kepada pelakunya sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Salim menyeru supaya umat Islam khususnya golongan kaya supaya merebut pahala lumayan dijanjikan Allah SWT bagi membantu saudaranya yang dalam kesusahan.

“Hulurkan bantuan sebanyak perbelanjaan yang anda gunakan dalam perjalanan ke Tanah Suci bagi membantu saudara kita yang terjejas kehidupan mereka akibat bencana alam, Insya-Allah akan diganjari pahala berganda selain kehidupan diberkati,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini, berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan penilaian risiko situasi varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts