Adab hulurkan pertolongan

Usaha menghulurkan bantuan kepada orang lain sememangnya amat dianjurkan Islam. Hal ini sesuai dengan Islam sebagai agama yang sangat menitikberatkan soal hubungan baik sesama manusia. Apatah lagi melibatkan saudara sesama Muslim yang ditimpa kesusahan. Muslim yang berhati mulia tidak akan sanggup membiarkan saudaranya berada dalam kesukaran tambahan pula Islam menyediakan ganjaran istimewa bagi golongan yang menghulurkan bantuan.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuhnya. Barangsiapa memberi pertolongan akan hajat saudaranya, maka Allah selalu menolongnya dalam memenuhi hajatnya. Dan barang siapa memberi kelapangan kepada seseorang Muslim daripada suatu kesusahan, maka Allah akan melapangkan orang itu suatu kesusahan daripada sekian banyak kesusahan pada Hari Kiamat. Dan barangsiapa menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aib orang itu pada hari kiamat.” (Muttafaq ‘alaih)

Hadis tersebut menjelaskan perihal keistimewaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada Muslim yang membantu saudaranya daripada kalangan umat Islam. Perlu dijelaskan bahawa Islam tidak menutup pintu pertolongan kepada sesama manusia daripada agama lain, namun pertolongan yang dihulurkan kepada saudara sesama Muslim akan memperoleh ganjaran yang sangat istimewa. Ganjaran tersebut bukan sahaja diberikan ketika di dunia, tetapi juga melibatkan keuntungan di akhirat.ADVERTISING

Ketika ada orang yang ditimpa ujian banjir, ramai orang baik di negara ini menghulurkan bantuan. Rakyat dalam negara ini sememangnya memiliki hati yang sangat baik kerana tidak akan sama sekali membiarkan orang yang berada dalam kesusahan terus menerus menanggung ujian bersendirian. Pelbagai pihak mendekati mangsa banjir untuk menghulurkan bantuan sama ada dari segi kewangan, tenaga, sokongan moral dan sebagainya.

Tatkala melakukan kerja kebaikan pastinya ia akan disusuli dengan ganjaran kebaikan di sisi Allah SWT. Namun perlu diingati bahawa setiap perbuatan baik boleh jadi tersasar daripada landasan kebaikan disebabkan perkara yang merosakkannya. Sebenarnya Islam telah memberi garis panduan umum yang cukup jelas bagi memastikan setiap perbuatan dinilai sebagai satu kebaikan.

Dalam usaha menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir misalnya, perlu diberi perhatian soal hak tuan rumah sekiranya bantuan diberikan melibatkan urusan pembersihan kediaman mereka. Islam sangat mementingkan soal hak tuan rumah kerana ia melibatkan harta benda kepunyaannya. Contohnya tatkala ingin membersihkan rumah mangsa banjir, pastikan urusan tersebut mendapat keizinan terlebih dahulu daripada tuan rumah sendiri. Perbuatan masuk ke dalam rumah orang lain sesuka hati boleh jadi mengundang kesusahan lain kepada mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).” (Surah an-Nur, ayat 27)

Peringatan Allah SWT tentang adab memasuki rumah orang lain dengan keperluan meminta izin bukan sahaja perlu dilakukan ketika hendak menziarahi tuan rumah, tetapi juga dalam konteks ingin menghulurkan bantuan. Jika belum mendapat kebenaran daripada tuan rumah, janganlah memasuki rumah tersebut meskipun untuk tujuan menghulurkan bantuan atas kesusahannya.

Ketika sedang melakukan pembersihan dalam rumah pula, pastikan setiap tindakan mendapat keizinan daripada pemiliknya. Mungkin di mata kita ada barang yang semacam tidak boleh digunakan lagi kerana rosak ditenggelami air banjir, namun mungkin pandangan tersebut tidak sebegitu di mata tuan empunya barang. Janganlah semudahnya membuang barang kepunyaan tuan rumah selagi mana tidak mendapat kebenaran daripadanya.

Jika perkara tersebut tidak diambil perhatian serius, dikhuatiri kehadiran kita untuk menghulurkan bantuan bertukar mengundang kesusahan lain kepada tuan rumah. Rasulullah SAW melarang umat Islam mengganggu harta Muslim lain kerana ia melibatkan hak milik yang dijamin dalam Islam. “Setiap Muslim itu adalah haram (tidak boleh diganggu) darah, harta dan maruah kehormatannya.” (Muttafaq ‘alaih)

Selain itu, tutur kata antara perkara penting yang perlu dijaga tatkala sedang menghulurkan bantuan kepada orang yang ditimpa kesusahan. Usahlah menitipkan kata-kata yang boleh menjejaskan emosi orang yang sedang menanggung kesulitan hidup. Pastinya bermacam-macam perkara yang sedang difikirkan oleh mereka untuk menguruskan kehidupan dengan banyak keperluan perlu dicari semula akibat musnah ditenggelami air.

Memang benar setiap musibah itu adalah ujian kehidupan yang berpunca daripada perbuatan manusia sendiri. Walau bagaimanapun tidak wajar saat ini, mereka dihujani dengan kata-kata yang merujuk kepada kesalahan tertentu kerana hakikatnya orang yang melihat berlakunya musibah juga sedang diuji oleh Allah SWT. Meskipun diri tidak ditimpa ujian tersebut, setiap mata yang menyaksikan turut diuji kerana sebenarnya seluruh kehidupan ini adalah ujian.

Manfaatkanlah masa berdepan dengan orang yang ditimpa kesusahan dengan memberikan kata-kata semangat agar mereka dapat mendepani ujian dengan lebih tabah. Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan perihal golongan Muslim yang akan mendapat ganjaran istimewa daripada setiap kesukaran yang dilalui dalam kehidupan.

Baginda SAW menyebut dalam hadisnya yang bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa sesuatu seperti keletihan, penyakit (yang tetap), kekhuatiran (terhadap sesuatu yang kemungkinan akan menyakitinya), kesedihan, gangguan dan dukacita kerana suatu kejadian, sehinggakan duri yang menusuknya (turut termasuk dalam lingkungan kesusahan), kecuali Allah akan menggugurkan dosa-dosanya dengan sebab itu.” (Muttafaq ‘alaih)

Keinsafan tidak hanya boleh dihadirkan dengan cara mengingatkan diri tentang kesilapan lalu, tetapi boleh juga hadir disebabkan sokongan dan ingatan tentang ganjaran istimewa yang disediakan bagi golongan yang bersabar mendepani ujian kesusahan. Bukankah orang yang beriman pasti akan diuji oleh Allah SWT dan ini berlaku untuk meningkatkan darjat keimanan sekiranya mereka terus bersabar.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman,” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Air muka orang yang menerima bantuan mesti dipelihara kerana mereka sememangnya layak menerima pertolongan. Jangan jadikan mereka terpaksa melayan kehendak untuk merakamkan kenangan daripada bantuan yang dihulurkan lantas mengabaikan air muka mereka. Elakkanlah penyebaran gambar yang boleh menjatuhkan air muka mangsa banjir. Mereka perlukan sokongan dan doa daripada kita semua.

Semoga peringatan ini dapat menjadi panduan bagi mereka yang sedang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Peringatan ini tidaklah bertujuan untuk menutup usaha pertolongan sebaliknya ingin mengajak semua menjaga kualiti amalan baik yang dilakukan agar tidak dicemari dengan perbuatan yang bersalahan dengan ketetapan Islam. – My Metro

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts