ALOR GAJAH: Kerajaan negeri tidak memutuskan secara mutlak berkaitan kebenaran merapatkan saf seperti dilakukan di Perlis, namun memberi kelonggaran kepada pengurusan masjid menggunakan kebijaksanaan mengawal penjarakan jemaah.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kebenaran merapatkan saf tidak perlu dilakukan di negeri ini, memandangkan Melaka mempunyai lebih 313 masjid dan surau bertaraf masjid yang menyediakan ruang mencukupi meskipun dalam pengamalan penjarakan fizikal.
“Biarlah Perlis buat, tidak perlulah (Melaka) keluarkan kenyataan kebenaran merapatkan saf kerana kita dari dahulu telah memberi kelonggaran jarak mengikut keperluan dan kebijaksanaan pengurusan masjid.
“Saya pun sudah beritahu mufti, kita tengok keadaan dan bolehlah dirapatkan sedikit saf itu, kalau orang datang (penuhkan) masjid hendak sembahyang, bagi sahajalah kan? Masjid di Melaka ini pun besar-besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Melaka Rumahku di Kampung Bukit Tambun kelmarin.
Tambahnya, kerajaan negeri tidak mempunyai kekangan mengenai isu merapatkan saf, namun pelaksanaan itu bergantung kepada keadaan semasa termasuk kemunculan varian Omicron yang berisiko empat kali ganda cepat menular berbanding Delta.
“Kita rapatlah secara berperingkat, perlahan-lahan mengikut keadaan semasa wabak ini. Kita memang nak rapatkan terus tetapi ada Omicron.
“Bagaimanapun, saya serahkan isu penjarakan ini kepada kebijaksanaan pengurusan masjid, Allah bagi akal gunakan sebaiknya, niat kita kerana Allah ,” katanya.
Mengulas lanjut, Sulaiman turut mengingatkan agar rakyat negeri ini tidak mencetuskan sebarang kontroversi berkaitan pengerjaan ibadah di masjid termasuk isu mengambil wuduk dalam masjid.
“Benda kecil, remeh-temeh janganlah kita tularkan, orang nak ambil wuduk dalam masjid, benarkanlah. Saya tidak kisah, orang datang masjid hendak sembahyang, bukan nak berbual ke apa, cuma dalam masa sama ikutlah prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Sebelum ini, Perlis mengumumkan kebenaran untuk merapatkan saf kepada jemaahnya selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti kadar 100 peratus vaksinasi lengkap, selain peningkatan dos penggalak di Perlis yang mencapai kadar 16.9 peratus atau 30,575 penerima setakat 2 Januari lalu. – UTUSAN
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM