SHAH ALAM – Pemimpin Muslim dan umat Islam perlu peka bahawa orang Islam tidak dibenarkan menyambut perayaan agama bukan Muslim atau melakukan sebarang upacara yang kelihatan seperti merayakan hari simbolik agama lain.
Pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Kamil Jamilin menegaskan, banyak cara atau aktiviti untuk memupuk perpaduan atau mempamerkan keharmonian sesama rakyat Muslim dan bukan Muslim termasuk melalui ihsan, keadilan dan tidak menzalimi antara satu sama lain.
Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah dengan berkongsi hari raya yang tidak seharusnya dilakukan.
“ALLAH SWT melarang umat Islam berkompromi dan terlibat dengan sebarang bentuk peribadatan dan ritual agama lain berdasarkan surah al-Kafirun yang kebanyakan kita menghafalnya.
“Apatah lagi dengan mengunjungi tempat ibadat mereka di hari perayaan mereka dengan alasan perpaduan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Walaupun beliau tidak menyatakan secara terperinci ‘teguran’ itu ditujukan kepada siapa, namun dipercayai ia berkaitan sambutan Hari Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy di Gombak pada Selasa.
Media melaporkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohd Sadique sempat meluangkan masa melawat kuil tersebut sempena sambutan itu bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Mengulas lanjut, Ahmad Kamil yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Kamilin Jamilin menjelaskan, larangan itu juga sebagaimana pesanan sahabat Nabi Muhammad SAW, Saidina Umar al-Khattab RA.
“Pesanan itu bermaksud ‘Janganlah kamu masuk ke tempat ibadat orang yang menyekutukan ALLAH pada hari raya mereka, kerana kemurkaan (ALLAH) sedang turun ke atas mereka’.
“Begitu juga tidak seharusnya seorang Muslim menggayakan diri atau berkelakuan dengan sesuatu yang menyerupai agama lain dalam hal yang menjadi syiar atau pengkhususan atau tradisi keagamaan mereka seperti sabda Rasulullah bersabda yang bermaksud ‘Sesiapa yang menyerupai sesuatu golongan, maka dia adalah sebahagian daripada golongan tersebut’,” ujarnya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM