Berkahwin pada usia muda selalu menjadi isu hangat sepanjang zaman. Terdapat pelbagai pandangan mengenainya dan selalu ditanyakan adakah ia baik untuk dilakukan oleh anak muda atau sebaliknya?
Ada sesetengah pihak menganggap perkara ini biasa, tetapi bagi yang lain ia persoalan yang berubah mengikut peredaran masa.
Dari sudut pandangan Islam, perkahwinan bukanlah suatu hal yang mudah. Ia bukan hanya untuk memuaskan nafsu, namun di sebaliknya terdapat tanggungjawab dan tugas yang besar untuk dipikul. Perkahwinan bukan satu permainan dan ia tidak boleh dipandang remeh begitu sahaja.
Hari ini, kita juga tidak lekang daripada mendengar mengenai pasangan yang berkahwin pada usia muda dan kelihatannya menjadi trend. Ia mungkin disebabkan pengaruh media sosial atau mungkin dalam kalangan rakan mereka sendiri.
Di kampus, bukan juga luar biasa untuk menemui pasangan muda yang memilih untuk berkahwin ketika dalam pengajian.
Mungkin ada yang melihatnya sebagai keputusan tidak tepat atau dikatakan sebagai gatal. Namun, jika kita melihat dalam konteks lebih luas, terdapat baik dan buruk perkahwinan usia muda.
Tentu saja antara kebaikan utama yang tidak boleh dinafikan adalah mengelak maksiat. Ia juga mengajar pasangan untuk lebih bertanggungjawab dan amanah dalam menjaga perhubungan.
Namun kita juga tidak menafikan cabaran yang menanti. Antaranya kurang ilmu rumah tangga, kemahiran, persediaan mental dan fizikal yang boleh menimbulkan pelbagai masalah, malah jika tidak ditangani dengan baik mampu merisikokan rumah tangga berkenaan.
Selain itu, faktor kewangan untuk menanggung keperluan keluarga, kurang pengetahuan agama, tidak memahami tugas dan peranan sebagai suami isteri dan sebagainya juga antara cabaran menanti.
Namun itu bukan halangan untuk melakukan kebaikan. Sebagaimana dalam satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abdullah Mas’ud, sabda Baginda: “Wahai pemuda! Sesiapa antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara kelamin. Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).” HR al-Bukhari dan Muslim.
Justeru, dalam memilih untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda, seharusnya setiap pasangan mempersiapkan diri dengan ilmu agama, jati diri sebagai Muslim, hubungan dengan Allah selain fokus dan rancanglah kehidupan. -Berita Harian
Universiti Sains Islam Malaysia
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM